“Kita Bertuah Dapat Perdana Menteri Seperti Beliau” – Ismail Sabri Ziarah Lima Beradik Jadi Yatim Piatu Akibat Covid-19
Bapa saudara kepada lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, selepas menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke kediaman mereka di Kota Perdana, Seri Kembangan, di sini, hari ini.
Nasib lima beradik berkenaan iaitu Muhammad Hadhrami, 11, Husna Humaira, sembilan tahun; Muhammad Harraz, tujuh tahun; Muhammad Hawwas, enam tahun, dan Hannan Humaira, tiga tahun mendapat perhatian Ismail Sabri.
“Alhamdulillah terima ziarah Perdana Menteri YAB Datuk Seri Ismail Sabri pada jam 12.00 tgh hari ini. Sangat baik dan ‘humble’ orangnya. Siap belanja anak-anak ini McDonald’s. Kita bertuah dapat Perdana Menteri seperti beliau.
“Banyak yang Perdana Menteri maklumkan untuk bantu anak-anak syurga ni. Seperti bantuan pendidikan, bantuan bulanan untuk datuk nenek dan sebagainya.
“Syukur, Allah hadirkan orang-orang hebat untuk bantu anak-anak syurga ni. Kami dah tak perlu risau lagi memikirkan mengenai masa depan mereka terutamanya berkaitan pendidikan mereka. Terima kasih YAB Perdana Menteri,” katanya.
Mohd Ariff berkata sebelum ini, pihak Pejabat Perdana Menteri ada menghubunginya untuk memaklumkan Ismail Sabri mahu menziarahi dan bertemu lima anak saudaranya itu.
Beliau berkata, pada awalnya mereka sekeluarga tidak percaya dan apabila Ismail Sabri muncul di depan pintu rumah, mereka semua terharu dan terkejut.
Katanya, Perdana Menteri tiba pada jam 12 tengah hari tadi dan beliau sempat beramah mesra dengan lima anak saudaranya dan beredar sejam kemudian.
Perdana Menteri sempat memberikan nasihat kepada lima beradik itu selain menghulurkan sumbangan dan menzahirkan ucapan takziah kepada mereka sekeluarga dan menyatakan ingin membantu pendidikan lima anak adik beradik itu.
Lima beradik itu kini dijaga oleh datuk dan nenek mereka, Abdul Razak Basiron, 67, dan Intan Sulaiman, 63.
Sebelum ini media melaporkan kisah sedih lima beradik yatim piatu selepas ibu mereka, Ida Haryanie, 38, meninggal dunia pada 7 Oktober lalu manakala bapa mereka, Mohd Nasir Tahal, 46, terlebih dahulu meninggal dunia pada 11 Ogos lalu ketika kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Putrajaya akibat Covid-19.
Kredit Foto: Ihsan FB Ariff Hafizan