KolumnisKongsi

‘Kita Sekadar Budak Hiburan’ – Satu Pengajaran Untuk Industri Kreatif Di Malaysia

Hampir semua industri di Malaysia menerima impak perniagaan dan operasi sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 hingga kini.

Implikasi ini tidak terkecuali juga menimpa industri kreatif dalam skop perfileman dan TV yang merangkumi penerbitan, pengedaran dan pemameran. Selain industri pelancongan, industri kreatif mendapat kesan yang sangat besar.

Sepanjang tempoh itu, kita mendengar luahan dari industri ini sama ada melalui orang perseorangan mahupun melalui persatuan yang meronta memohon bantuan memandangkan majoriti ahli dalam industri kreatif adalah pekerja bebas yang tidak mempunyai simpanan tetap wajib seperti KWSP dan lain-lain.

Lebih memeritkan apabila industri ini sentiasa menjadi pilihan terakhir untuk dibenarkan beroperasi akibat pertimbangan umum yang melihatnya sebagai industri yang tidak kritikal dan hanya sekadar hiburan.

Maka, ada pengajaran yang kita telah pelajari sebagai ilmu untuk masa akan datang.

Industri ini harus menyedari bahawa mereka sentiasa bersendirian dan bebas serta harus berdiri atas kaki sendiri. Industri ini bukan anak manja kepada negara.

Industri ini hanya sekadar budak-budak hiburan yang diperlukan untuk mewarnai persekitaran dalam mengindahkan suasana. Bunyi seperti menyedihkan, tetapi sebenarnya itulah rahmat yang akan memberikan industri ini kekuatan.

Industri harus menyedari bahawa apa yang mereka dapat daripada kerajaan ketika dalam era pandemik ini, itulah juga yang mereka akan dapat pada masa akan datang jika suasana yang sama berulang.

Bukan untuk menuding jari menyalahkan kerajaan, namun itulah sahaja kuasa yang mereka ada, manakala kerajaan dan agensinya menjalankan tugas berpandukan kepada punca kuasa yang mereka ada. 

Lantaran itu, bersiap sedia jika masalah yang sama datang menimpa negara. Tanamkan dalam minda semua ahli industri waima persatuan sekalipun bahawa industri tiada tempat kebergantungan yang nyata melainkan membiasakan diri dengan sentiasa kreatif untuk bebas dalam pasaran terbuka.

Industri ini harus belajar tentang bagaimana menjana pendapatan dengan elemen swasta dan korporat. Bermula saat ini, industri kena fikirkan bagaimana untuk mengikat pasaran, membina platfom tayangan digital dan atas talian, membentuk tabung kecemasan serta mencipta ‘kod peraturan operasi’ di luar daripada kotak peraturan sedia ada.

Hanya dengan itu, industri ini akan terus hidup dan berdikari. Sekadar peringatan agar industri ini sedar dari khayalan. Kita hanya sekadar budak hiburan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button