
Tajuk: KL Special Force
Tarikh Tayangan: 8 Mac 2018
Durasi: 1 jam 44 minit
Genre: Aksi
Pengarah: Syafiq Yusof
Pelakon: Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Sabrina Ali, Mustaqim Bahadon, Mahmud Ali Bashah, Shahahruddin Tambi, Esma Daniel, Ramona Zam Zam, Josiah Hogan dan Liza Abdullah.
Klasifikasi: P13
Menggambil tema berpaksikan filem polis ala Hong Kong, Syafiq Yusof ternyata berjaya membawakan mood tersebut ke dalam karya terbaharunya, KL Special Force.
Mempertaruhkan tiga watak utama yang digalas Datuk Rosyam Nor sebagai Roslan, Fattah Amin (Zul) dan Syamsul Yusof (Asyraff), filem ini digarap dengan cukup rencah dan rasa!
Malah ketika menghadiri malam gala filem ini pada Isnin lalu, dapat diperhatikan tiada seorang pun penonton yang keluar dari pawagam. Ini kerana KL Special Force sememangnya padat dengan pelbagai aksi mendebarkan yang pastinya dirasakan rugi sekiranya terlepas seketika daripada menyaksikan babak-babak terbabit.
Dari segi lakonan, memang tidak dapat dinafikan Rosyam merupakan seorang hero yang tidak makan tua, staminanya tidak seperti seorang yang sudah berusia 51 tahun, malah sebaliknya beliau kelihatan seperti anak muda yang penuh bersemangat dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai polis yang tegas.
Rosyam telah meletakkan satu standard yang mana pelakon-pelakon seangkatannya juga boleh diberikan ruang dan peluang untuk memegang watak utama dalam filem aksi sekiranya wataknya itu bersesuain dengan mereka. Boleh dikatakan ini merupakan lakonan Rosyam yang paling cemerlang pernah ditunjukkan beliau sepanjang 36 tahun menghambakan diri dalam bidang seni.
Sementara itu, menerusi filem pertama lakonannya, Fattah telah berjaya membuang stigma tipikal yang diberikan segelintir pihak terhadap dirinya malah wataknya juga berkesan membawanya lari daripada watak romantik yang sering digalasnya sebelum ini.
Fattah berjaya membawakan wataknya dengan begitu baik sekali sebagai seorang pegawai polis muda yang terlalu ghairah mengikut kata hati dalam melakukan sesuatu tindakan. Malah boleh dipuji apabila kebanyakan aksi lasak dalam filem ini dia turut melakukannya sendiri bagi mencabar dirinya.
Untuk Syamsul pula, portfolio antagonisnya terus diperkembangkan apabila watak Asyraff yang dijayakannya mampu membuatkan penonton marah dengan lakonannya yang cukup bersahaja sebagai ketua kumpulan perompak yang dinamakan Geng Anarkis.
Keseluruhannya, filem ini pastinya mampu menepati selera peminat filem aksi tempatan. Banyak aksi letupan dan tembakan yang sangat cantik dipertontonkan malah beberapa kereta mewah turut dikorbankan pengarah bagi mendapatkan syot-syot menarik untuk KL Special Force.
Pelakon-pelakon tambahan filem ini juga memberikan aksi cemerlang dalam lakonan mereka terutama sekali kepada kumpulan Geng Anarkis yang dijayakan Mustaqim (Rizal), Josiah (Bakar) dan Ramona (Nadia).
Filem ini dipercayai mampu mencetuskan evolusi baharu dalam filem aksi di Malaysia menerusi gandingan trio heronya, Rosyam, Fattah dan Syamsul.
KL Special Force mengisahkan sekumpulan unit khas PDRM yang diketuai Roslan berusaha untuk menjatuhkan sekumpulan perompak yang diketuai Asyraff. Kumpulan perompak ini, Geng Anarkis melaksanakan pelan rompakan dengan begitu licik dan pelbagai taktik untuk mengelirukan pihak polis. Seorang anggota polis muda, Zul yang berjiwa besar diserapkan dalam unit khas PDRM untuk membantu Roslan menyelesaikan kes berkenaan, tetapi situasi menjadi bertambah rumit apabila Asyraff mula memanipulasi perasaan, minda dan syak wasangka di antara Roslan dan Zul. Taktik yang dilakukan Asyraff itu sedikit sebanyak telah memporak-perandakan unit tersebut.
Apakah motif di sebalik kejahatan Geng Anarkis itu? Pengakhiran filem ini anda sama sekali tidak akan dapat menjangkakan plot twistnya yang memang tidak langsung dapat diteka dari awal cerita lagi. KL Special Force akan mula ditayangkan di 137 pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura bermula hari ini.
KL Special Force pastinya dapat mengubati kerinduan peminat yang dahagakan filem-filem bercorak kepolisan yang sarat dan padat dengan aksi lagak ngeri yang mampu membangkitkan adrenalin rush di kalangan penontonnya! – KopiPlanet.com