FesyenGaya Hidup

Koleksi ‘Hikayat Ariani Karya Seindah Busana’ Tampilkan Rekaan Hijab & Busana Terkini Sempena Sambutan Lebaran

Menyuntik semangat Aidilfitri yang bakal tiba, ARIANI kembali ke pentas peragaan dalam mempersembahkan koleksi HIKAYAT ARIANI KARYA SEINDAH BUSANA bertempat di Grand Ballroom Kuala Lumpur Convention Centre.

Koleksi ARIANI kali ini mengilhamkan rekaan hijab dan busana terkini dengan pelbagai pilihan dan gaya yang cukup menawan. Sebanyak 158 daripada 600 pilihan hijab dan busana terbaru diperkenalkan dengan kombinasi warna, material dan cetakan yang lebih unik, moden dan elegan yang dipertontonkan kepada 1000 tetamu yang hadir pada majlis pertunjukan fesyen itu.

Menurut Datin Seri Farah Haryani, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani, di dalam ucapannya, Aidilfitri bukan sekadar berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai serta saling bermaaf-maafan, tetapi juga tentang meraikan kebersamaan bersama keluarga dan insan tersayang dalam persalinan baju baharu. Tidak kira mahal atau murah, baju raya menjadi simbol kebahagiaan dan kenangan yang memberikan nilai sentimental kepada pelanggan kami dalam menyambut lebaran.

Bermula dari rekaan selendang sehinggalah ke pilihan tudung instant, koleksi ARIANI ini merangkumi lebih 300 pilihan hijab polos dan printed yang merangkumi:

  1. 50 rekaan bawal satin dan twill bercorak.
  2. 100 rekaan bawal voile bercorak
  3. 50 selendang bercorak dalam material cotton, satin dan chiffon
  4. 100 rekaan selendang dan bawal polos yang diperincikan dengan diamand dan sulaman dan didatangkan dalam 60 pilihan warna hot selling raya

Tidak sekadar itu, ARIANI LUXE pula menampilkan lebih 100 rekaan eksklusif dengan perin- cian French lace dan kemasan kristal Swarovski. Formulasi tudung premium dengan sentuhan artisan menjadi salah satu tarikan utama koleksi lebaran kali ini. Terdiri daripada bawal dan selendang bercorak, sehinggalah ke tudung polos, semuanya didatangkan dalam material berkualiti tinggi.

Pelakon sensasi Rozita Che Wan atau dikenali sebagai Che Ta, berjaya memukau dan mengejutkan tetamu yang hadir dengan membuka tirai pertunjukan fesyen petang itu, sebagai Muse ARIANI LUXE 2025. Masih berbisa dengan aura primadona, Che Ta kelihatan angun dan cantik bergaya memperagakan tudung dari ARIANI LUXE. Pernah menjadi wajah kempen ARIANI pada tahun lalu, Che Ta meluahkan rasa teruja dan bersyukur menjadi sebahagian keluarga besar ARIANI, meskipun dihimpit kontroversi.

Meneruskan pertunjukan fesyen ARIANI pada petang itu, acara tertumpu kepada koleksi ARIANI READY-TO-WEAR. Menurut Datin Farah Haryani, sebanyak 300,000 helai baju raya yang terdiri daripada kurung, jubah, kurta dan baju melayu disediakan untuk lebaran kali ini. Meskipun hanya 158 rekaan sahaja dipertontonkan pada pertunjukan fesyen kali ini, hakikatnya ARIANI RTW mempunyai 300 rekaan terkini yang terdiri daripada baju kurung dan jubah bercorak serta polos di mana saiznya bermula dari bayi, kanak-kanak, remaja sehinggalah saiz dewasa yang didatangkan dalam hampir 10 material berbeza, termasuklah cotton, satin, twill, brocade serta yang terbaru chiffon, crepe, jacquard dan banyak lagi.

ARIANI tetap berpegang kepada keteguhan identiti jenama ini yang sentiasa menghasilkan koleksi selendang dan busana pada harga terbaik seiring dengan kualiti tudung dan busana yang dihasilkan, baik untuk pasaran butik fizikal juga untuk pasaran online. Kesemua koleksi tudung ARIANI ini disasarkan untuk semua wanita pelbagai peringkat usia.

Masih mengekalkan tiga pesona jelitawan Malaysia, Datin Lisa Surihani, Uyaina Arshad dan Bella Dally sebagai duta ARIANI serta Fyza Kadir sebagai Muse ARIANI PREMIUM. Tidak cukup dengan empat figura ini, ARIANI juga turut memperkenalkan 11 wajah baharu untuk kempen raya ARIANI 2025 termasuklah Siti Khadijah, Siti Saleha, Amyra Rosli, Mawar Rashid, Uqasha Senrose, Liza Abdullah, Aqila Shamsudin, Amar Baharin, Naim Danial, Roy Azman dan Ezzaidi Aziz, di samping turun bekerjasama dengan rakan-rakan pempengaruh Tiktok yang lain.

Majlis pada petang itu dihangatkan dengan pertunjukan fesyen dari koleksi ARYAN. Penampilan hero-hero Malaysia yang terdiri daripada Dato Rahim Razali, Dato Fizz Fairuz, Edika Yusoff, Arash Mohamad, Rusdi Ramli, Sham Visa, Roy Azman dan Zarul Umbrella menggamatkan suasana dalam persalinan baju melayu dan kurta mengembalikan nostalgia kegemilangan lakonan mereka suatu ketika dahulu.

Kemuncak majlis pada petang itu diserikan dengan satu lagi kejutan kolaborasi istimewa antara ARIANI bersama LIBERTY LONDON, yang merupakan sebuah gedung fesyen mewah yang terkenal di London. Selain menawarkan pilihan fabrik yang berkualiti dengan corak bunga ikonik, LIBERTY juga menawarkan fesyen ready to wear, aksesori wanita, barangan kecantikan dan dekorasi rumah dengan sentuhan klasik dan unik. Koleksi LIBERTY X ARIANI ini menampilkan 5 rekaan potongan tradisional dengan empat pilihan corak evergreen dari LIBERTY sebagai simbolik mengangkat nilai budaya Malaysia bersama jenama antarabangsa.

Selain itu, ARIANI juga turut menjalinkan kolaborasi bersama BOKITTA, jenama tudung instant tanpa pin yang cukup popular di Malaysia. Koleksi istimewa keluaran ARIANI x BOKITTA edisi raya ini merangkumi 4 rekaan tudung instant plain, dengan 4 pilihan fabrik berbeza. Koleksi lengkap ARIANI x BOKITTA ini akan dikeluarkan secara berperingkat bermula Jualan Mega Lebaran yang akan datang sehinggalah ke penghujung tahun ini. Sebanyak lebih 30 rekaan yang diperkenakan menerusi kerjasama ARIANI X BOKITTA ini.

Majlis pada petang itu diteruskan dengan pertunjukan fesyen dari ARIANI PREMIUM khusus untuk pelanggan yang gemarkan rekaan mewah dengan sentuhan eksklusif dan dijual dalam kuantiti yang terhad. Penggunaan material sutera, satin berkualiti tinggi dan kapas berkualiti tinggi dengan pelbagai rekaan potongan yang dilengkapi dengan aksesori berupa kristal Swarovski antara keistimewaan koleksi ARIANI PREMIUM ini. Tak sekadar cantik di pandang, tapi cukup praktikal untuk digayakan. Kesemua koleksi ARIANI sempena lebaran ini akan dijual secara berperingkat bermula hari ini dan koleksi lengkap sepenuhnya akan berada di pasaran sempena Jualan Mega Lebaran yang akan berlangsung pada 21 Februari akan datang.

Majlis yang berlangsung di The Grand Ballroom, Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur itu turut diserikan dengan persembahan beberapa penyanyi popular tanah air, antaranya Dato’ Amy Search, Dato’ Awie, Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah. Majlis pertunjukan fesyen pada petang itu dianggap antara penganjuran pertunjukan fesyen terbaik dan termahal yang pernah dianjurkan oleh ARIANI. Majlis yang penuh gemilang itu turut dihadiri oleh tetamu istimewa iaitu, Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button