EventHiburan

Konsert Ada Apa Dengan Melly? Imbau Perjalanan 30 Tahun Melly Goeslaw Dalam Industri Muzik

Bersempena dengan ulang tahun perjalanan dalam industri muzik selama 30 tahun, penyanyi Indonesia yang popular dengan lagu runut bunyi, Melly Goeslaw, 48, bakal mengadakan konsert pertamanya di Malaysia pada tahun hadapan.

Melly yang juga seorang komposer hebat berkata, konsert Ada Apa Dengan Melly? yang akan berlangsung pada 3 Februari 2023 akan mengimbau memori zaman remajanya sehingga ke hari ini.

“Istimewanya, konsert ini diberi nama Ada Apa Dengan Melly? memandangkan apa yang dipersembahkan nanti semuanya tentang Melly iaitu selaku komposer, penyanyi dan pencipta runut bunyi filem.

“Sememangnya konsert ini cukup penting kerana tahun 2023 menandakan sudah 30 tahun saya berkarya dan kini waktu yang sesuai untuk saya berterima kasih pada pencinta muzik saya,” ujarnya.

Melly berkatak demikian ketika ditemui pada sidang media Ada Apa Dengan Melly? baru-baru ini dan turut ditemani suami tercinta iaitu Anto Hoed.

Bercerita lebih lanjut mengenai persiapan yang bakal dilakukan untuk konsert berkenaan, Melly dan suaminya memberitahu mereka akan melakukan latihan fizikal.

Jelas Melly, ia penting buat dirinya bagi mendapat kecergasan memandangkan lebih 30 buah lagu yang akan dipersembahkan nanti.

“Ketika ini susunan muzik untuk persembahan sudah berjalan 30 peratus. Pada bulan Januari kami akan adakan latihan intensif selama satu minggu setiap hari supaya menjelang konsert supaya lebih cergas.

“Latihan fizikal harus dilakukan kerana tahun depan umur saya sudah mencecah 49 tahun. Untuk menyanyikan lebih 30 lagu ternyata bukan mudah seperti dahulu,” jelasnya.

Lebih istimewa lagi, Melly memberitahu konsertnya itu nanti agak unik dengan pemilihan konsep kembali ke sekolah, di mana penonton yang datang nanti perlu memakai pakaian seragam sekolah.

Ujarnya, dengan pemilihan konsep berkenaan, dia berharap peminat yang hadir akan turut serta menyarung seragam sekolah bagi mengembalikan nostalgia zaman remaja.

“Dalam kehidupan ini, salah satu hal paling cantik itu adalah memori dan acara paling menarik adalah reunion. Kerana saya mahu kembalikan zaman remaja.

“Filem Ada Apa Dengan Cinta dan Eifel I’m In Love adalah filem lagenda yang menjadi ikon percintaan remaja dan itu sangat menarik untuk dikenang kembali. Apabila kita memakai pakaian seragam sekolah, saya rasa kita semua setara,” jelasnya.

Konsert Ada Apa Dengan Melly? bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan tiket boleh dibeli di www.ticket2u.com.my bermula dengan harga RM288 sehingga RM1588 mulai 2 Disember jam 3 petang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button