Konsert Exists X Orkestra yang berlangsung pada Sabtu lalu berlangsung dengan sukses dengan kehadiran kira-kira 6,000 peminat yang membanjiri Megastar Arena, Bukit Bintang.
Menampilkan gandingan dua vokalis kumpulan berkenaan iaitu Mamat dan Ezad Lazim, ternyata konsert yang diiringi dengan orkestra itu memberi kepuasan tersendiri kepada mereka yang hadir.
Memulakan persembahan dengan lagu Jangan Gentar, Ezad turut meluahkan rasa terharu apabila peminat menyanyi bersama semua lagu yang disampaikan.
Acara pada malam itu dimulakan dengan lagu Jangan Gentar yang dipersembahkan oleh Ezad dan kemudian diiringi dengan lagu Seperti Dulu dan Masih Terserlah Ayumu.
Selepas itu, giliran Mamat pula menghiburkan peminat menerusi seleksi lagu seperti Sebelum Terlewat, Nota Di Lautan Sepi dan Untukmu Ibu.
Sepanjang konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam itu, Ezad dan Mamat mempersembahkan secara keseluruhan sebanyak 25 buah lagu.
Antara lagu-lagu lain yang dinyanyikan adalah seperti Rahsia Pohon Cemara, Julia, Jesnita, Anugerah, Kapal Terbang Kertas, Langkah Seiringan dan lain-lain lagi.
Sementara itu, selain menghiburkan peminat, kumpulan berkenaan juga turut memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada golongan anak seni yang memerlukan.
Sumbangan itu diberikan semasa segmen khas, di mana Exists menyerahkan replika cek sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diterima presidennya iaitu Datuk Freddie Fernandez.
Sumbangan itu diperoleh menerusi hasil kutipan sebanyak RM10 daripada setiap pembelian tiket konsert yang berlangsung di Mega Star Arena, Bukit Bintang Kuala Lumpur. – KopiPlanet.com