EventHiburan

Konsert ‘Here I Am’ Refleksi Perjalanan Karier Rossa, Bakal Jelajah Tiga Buah Negara

Ratu Pop Indonesia, Datuk Sri Rossa Roslaina, bersedia untuk menganjurkan konsert “Here I Am” di Axiata Arena Kuala Lumpur pada 14 Jun 2025, setelah sebelumnya berjaya mengadakan jelajah konsert di 3 buah negara selama 2 tahun berturut-turut iaitu “Rossa 25 Shining Years (2022)” dan “Another Journey : The Beginning (2023)” dengan kehadiran penonton melebihi 80,000 orang.

“Konsert “Here I Am” yang dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari Sah Entertainment turut mendapat sokongan dari Maybank sebagai Rakan Strategik Perbankan untuk membawa sebuah persembahan yang luar biasa kepada pecinta Rossa di Kuala Lumpur, Malaysia.

“Konsert “Here I Am” akan menampilkan sesuatu yang lebih segar, kreatif dan sangat berbeza daripada konsert-konsert saya sebelum ini kerana melibatkan banyak kolaborasi, kejutan dan konsep yang saya yakin pasti membuatkan semua teruja menontonnya,” kata Rossa.

Menurut Rossa lagi, nama “Here I Am” itu sendiri adalah refleksi dari perjalanan kerjaya beliau serta legasi yang telah dicapainya hingga kini.

“Here I Am” itu menggambarkan perjalanan kerjaya saya yang telah membawa saya sejauh ini, menjadikan siapa diri saya pada hari ini dan saya percaya, pernyataan ini juga terkait dengan semua orang.

“Saya ingin merayakan momen ‘ini adalah kita yang sekarang’ selepas melalui pelbagai dugaan. Saya berharap hari ini kita boleh berbangga dengan diri sendiri dan membawa kita untuk terus ke depan,” jelasnya.

Rossa berkata, konsert terbarunya itu bakal membawa penonton menelusuri perjalanan seninya menerusi beberapa segmen antaranya dance, runut bunyi, galau bersama 27 lagu sepanjang tiga jam persembahan.

“Here I Am akan menjadi salah satu konsert terbaik saya dan saya mahu ia dinikmati sebanyak mungkin orang. Konsert ini akan memberikan rasa yang istimewa buat semua yang menonton, terutama Pecinta Rossa menerusi pengisian sepanjang ia berlangsung.

“Banyak yang kami rancang termasuk kolaborasi bersama penyanyi undangan, membabitkan bintang dari kedua-dua negara. Malaysia umpama rumah kedua saya dan saya perlu berlaku adil kepada semua peminat, baik di Indonesia mahupun di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin yang sinonim dengan penganjuran konsert berskala besar berkata, “Penganjuran konsert Rossa ini akan meneruskan kerjasama strategik dengan saya dan PRIHATIN untuk tujuan kebajikan yang telah kami mulakan dan sama-sama berkolaborasi sejak tahun 2012 lagi. Saya bersyukur kerana Rossa sentiasa prihatin dengan aktiviti kebajikan di Malaysia dan sentiasa berkerjasama untuk penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata.

“Rossa bersetuju untuk sama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin.

“Dalam masa yang sama, PRIHATIN mengalu-alukan pihak korporat dan orang perseorangan untuk membeli tiket Royale, First Class dan Executive seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan melalui konsep “Berhibur Sambil Beramal”.

Untuk harga tiket konsert “Here I Am”, pihak penganjur telah menetapkan untuk menjual tiket dengan harga bermula dari harga RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran.

Tiket boleh dibeli di platform www.ticket2u.com untuk pembelian secara online dan tiket korporat boleh berhubung terus dengan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel: rossa@yayasanprihaSn.com.

Peminat-peminat Rossa yang juga pemegang kad kredit dan debit Mastercard dan Visa Maybank boleh dapatkan diskaun istimewa sebanyak 10% semasa hari pra-jualan Sket konsert “Here I Am” daripada jam 10 pagi, 14 Februari sehingga 10 pagi, 15 Februari 2025.

Selanjutnya, untuk pembelian selepas hari pra-jualan Sket, diskaun 8% diberikan kepada pemegang kad kredit Maybank dan 5% untuk pemegang kad debit Maybank.

Sebagai maklumat tambahan, konsert “Here I Am” Rossa ini akan diadakan di 3 buah negara iaitu di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Di Malaysia, konsert ini akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025, manakala di Singapura akan berlangsung pada penghujung tahun 2025. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button