
Konsert Mingguan Gegar Vaganza 7 Tetap Diteruskan Tanpa Kehadiran Penonton
Biarpun baru-baru ini kerajaan mengumumkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun konsert mingguan Gegar Vaganza 7 (GV7) akan tetap berlangsung seperti biasa.
Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pihak Astro mengambil keputusan untuk meneruskan pertandingan nyanyian Gegar Vaganza (GV7) seperti yang telah dijadualkan tetapi tanpa kehadiran penonton.
“Dengan keputusan tersebut, penganjuran dua buah konsert mingguan yang kebetulan jatuh ketika tempoh fasa PKPB sedang berlangsung iaitu konsert minggu kedua pada 18 Oktober dan minggu ketiga pada 25 Oktober ini akan tetap bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) seperti biasa.
“Namun begitu, hanya krew produksi dan tenaga kerja yang berdaftar sahaja akan dibenarkan berada di lokasi untuk mengawal jumlah bilangan kehadiran pada satu-satu masa,” jelasnya.
Menurut Emarina, sebarang perubahan mengenai penganjuran untuk konsert minggu keempat dan seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan situasi semasa wabak Covid-19 serta kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa, sekiranya ada.
“Pihak Astro juga ingin menyeru kepada orang ramai agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana tangggungjawab, disiplin serta pematuhan masyarakat amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.
“Teruskan menyokong program-program terbitan Astro sepanjang tempoh PKPB berlangsung. Semoga perasaan gusar dan bimbang mengenai keadaan semasa yang membimbangkan ini akan sedikit terubat dengan kemeriahan konsert GV7 walaupun bersiaran dalam norma baharu,” ujarnya. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Gegar Vaganza Official