EventHiburan

Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya Bukti Persahabatan Charly & ST12 Kekal Utuh

Sukar menafikan keserasian yang pernah tercipta antara kumpulan pop Melayu popular Indonesia, ST12 dengan bekas vokalis mereka, Charly Van Houten.

Meskipun telah lebih sedekad Charly meninggalkan kumpulan yang kini dibarisi Ilham Febry atau Pepep (dram) dan Indra (bass), permintaan untuk mereka kembali bersatu tidak pernah padam.

Membuang jauh ego dan menyisihkan perbezaan misi dan visi yang menjadi antara punca Charly serta Pepeng berundur daripada ST12 pada 2011, anggota asal kumpulan itu kembali bersatu pada 2019 untuk merakamkan album baharu dengan memperkenalkan single, Jangan Marah-Marah.

Namun, masalah kontrak antara label menyukarkan mereka untuk kembali bergerak sebagai sebuah kumpulan. Usaha itu hanya tinggal sebagai projek reunion.

Bagaimanapun, projek itu mempunyai signifikan tersendiri, apatah lagi ia sebagai penghargaan terhadap sokongan peminat sejak ST12 mula bertapak dalam industri muzik pada 2004.

“Kelahiran single itu menjawab keinginan peminat yang ingin melihat kami kembali bersatu. Kerjasama itu juga secara tidak langsung, menangkis segala persepsi mengenai hubungan kami dengan Charly dan Pepeng yang dikatakan dingin.

“Meskipun sudah membawa haluan masing-masing, hubungan kami tetap baik. Cuma mungkin perkara itu tidak dipanjangkan kepada umum. Komunikasi antara kami tetap berjalan, meskipun kini Charly dan Pepeng mengusung nama Setia Band.

“Setiap apa juga yang kami lalui, kami akan saling berkongsi. Lantas, apabila ada permintaan untuk kami kembali bergabung, kami tiada halangan. Dalam hal ini, kami meletakkan peminat pada kedudukan teratas kerana mereka adalah penyokong kuat karya kami,” katanya.

Lebih dilihat sebagai projek melepas rindu peminat, kolaborasi antara Pepep bersama Charly dan Pepeng tidak terhenti di situ. Tahun lalu, mereka kembali semula dengan melahirkan single, Tujuh Tahun yang dilancarkan pada 7 Julai.

“Kami tiada perseteruan dan perbezaan itu hanya pada misi dan visi masing-masing. Dalam urusan pekerjaan, secara peribadi, silaturrahim antara kami tidak pernah putus. Alhamdulillah, keserasian itu masih ada,” katanya.

Berbicara mengenai karya, akui Pepep, ia tiada batasan. Malah, menerusi karya juga mereka dapat membuatkan orang lain bahagia.

Kebahagiaan itu katanya, akan diterjemahkan dalam Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya yang bakal direalisasikan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Mac ini. 

“Konsert ini sangat bermakna kerana tidak sekadar meraikan 20 tahun Charly berkarya dalam industri muzik. Sebaliknya, konsert itu turut menyaksikan ST12 kembali bersatu di pentas yang sama di negara tetangga.

“Umum mengetahui, langkah Charly bermula pada titik yang sama dengan ST12. Justeru, konsert itu bakal mencipta sejarah tersendiri dengan menyatukan semula formasi awal ST12  untuk meraikan dua dekad perjalanan kami.

“Konsert ini juga mencerminkan kedewasaan dan kematangan ST12 dalam memenuhi keinginan penggemar. Ia membuktikan keterbukaan kami dalam meraikan perbezaan, pada masa tetap bersatu mengukuhkan industri muzik,” katanya.

Tidak hanya menyaksikan penyatuan semula formasi awal ST12, konsert itu turut menampilkan nama popular seperti Firman Siagian, Jaclyn Victor, Ezad Lazim dan Restu.

“Alhamdulillah, kami berbangga apabila usaha kami ini direstui peminat. Melihat sokongan yang diberikan, terutama selepas mendapat tahu tiket untuk beberapa kategori telah habis ditempah, ST12 yakin objektif yang dibawakan konsert ini akan terlaksana.

“Sudah pasti kami mengharapkan lebih ramai peminat dapat hadir bersama pada konsert itu nanti. Banyak lagu istimewa yang akan kami tampilkan dan tentunya, ia akan menjadi malam terindah untuk dikenang semua,”  katanya.

Sepanjang berkarya, ST12 pernah melahirkan album seperti Jalan Terbaik (2005), P.U.S.P.A. (2008), P.U.S.P.A. Repackage (2009), Pangeran Cinta (2010), Lentera Hati (2013), Terjemahan Hati (2014) dan Hijrah Cinta (2017).

Ruang Firman Dekati Semula Peminat

LEMBARAN karier nyanyian penyanyi kelahiran Balige, Toba Samosir, Indonesia, Firman Siagian bermula selepas menyertai pertandingan Indonesian Idol dan meraih tempat ketiga pada 2005.

Setahun selepas meninggalkan pentas realiti itu, Firman, 44, tampil bersama kumpulan The Fly dan hadir dengan album sulung, If Loving You Is Wrong, I Don’t Want To Be A Right pada 2006.

Populariti lagu seperti Kehilangan dan Jangan Pikirin Abang pada 2012 meledakkan namanya di negara ini, sekali gus membuka ruang kepada Firman untuk menjayakan sebuah showcase, Firman Siagian Live In Kuala Lumpur pada 2014.

Pernah merakamkan dua album mini, Separuh Hati pada 2013 dan Aku Anak Melayu (2014), Firman kembali mengukuhkan namanya di negara ini apabila menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim keempat pada 2017.

Namun, kata Firman, sejurus menamatkan perjuangannya dalam program popular itu dengan meraih tempat keenam, dia dilamar oleh sebuah label rakaman di Indonesia, sekali gus membataskan perjalanan kembara seninya di negara ini.

“Jauh di sudut hati, saya menyimpan keinginan yang mendalam untuk terus mendekati peminat di Malaysia, apatah lagi peluang sudah terbentang luas selepas menyertai GV4.

“Namun saya terpaksa akur, kesibukan dengan jadual persembahan dan siri promosi bersama label tersebut membuatkan hubungan dengan peminat di Malaysia ‘terhenti’.

“Saya sentiasa berharap dapat kembali menghiburkan peminat di sini yang selama ini menyokong perjalanan karier saya. Tetapi, hasrat itu tertangguh lagi apabila dunia dilanda pandemik Covid-19 pada 2020,” katanya.

Susulan itu, kata Firman, dia hanya mampu memendam rindu, meskipun hatinya sentiasa membara untuk bertemu semula peminat. Namun, doa dan penantian panjangnya itu terjawab apabila dia menerima undangan untuk beraksi pada Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya.

“Saya melihat konsert ini sebagai jambatan untuk kembali mendekati peminat. Sebagai pengkarya, sudah tentu saya sentiasa menyimpan keinginan untuk menghiburkan peminat tidak kira di mana sahaja mereka berada.

“Tentunya harapan besar saya adalah untuk melunaskan kerinduan terhadap peminat di Malaysia, membuatkan saya berazam untuk tampil optimal pada konsert itu nanti,” katanya.

Mengimbau perjalanannya bersama kumpulan ST12, Firman berkata, kerjasama mereka tercetus apabila dia diundang sebagai vokalis pada 2019.

Pemilihan Firman dilihat tepat, apatah lagi penyanyi itu turut memperjuangkan muzik pop Melayu, sekali gus menyatukan visi dan misi dalam membentuk warna karakter yang sudah menjadi ciri khas ST12 selama ini.

Sempat tampil bersama single, Kepingan Hati, Firman berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk meletakkan dirinya dalam kumpulan yang memiliki karakter yang cukup kuat.

“Untuk memberikan sedikit perbezaan, saya menyuntik sedikit sentuhan rock, tetapi asas muzik ST12 yang ada pengaruh Melayu tetap dikekalkan. Sudah tentu saya berbangga apabila diberi kepercayaan untuk menjadi vokalis band pop Melayu yang besar di Indonesia.

“Apabila diundang untuk bersama dalam konsert ini, saya terharu. Sebagai pemuzik, setiap kami berpegang kepada satu tujuan iaitu melakukannya seikhlas hati untuk peminat dan semua yang terlibat.

“Kejujuran itu yang saya pegang dan pastinya, saya akan tampil optimum untuk memuaskan hati peminat yang sudah lama menanti kami kembali beraksi di Kuala Lumpur,” katanya.

Tiket Konsert ST12 Reunion/20 Tahun Charly Berkarya berharga RM99, RM152, RM252 dan RM282 boleh diperoleh menerusi laman web: www.ticket2u.com.my. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button