EventHiburan

Konsert Solo Saujana Sempena Ulang Tahun Ke-25 Penubuhan Akhirnya Direalisasikan

Siapa sangka hasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo akhirnya dapat direalisasikan oleh kumpulan nasyid Saujana setelah 25 tahun penubuhan mereka. 

Ternyata tanggal 5 Mac lalu menyaksikan impian Suffian Amrin, Azalinor Abd. Rahman, Wan Najran Wan Mohd. Noh, Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz, Idzu Baharin, Mohd. Hakimi Harun dan Faizul Hizal Ghazali telah terlaksana pada konsert yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur.

Suffian berkata, mereka gembira kerana  berkesempatan untuk menghadiahkan sebuah konsert istimewa buat  peminat yang sejak dulu mengikuti dan menyokong perjuangan mereka dalam industri nasyid.

“Sudah tentu kami tidak menyangka dapat menjayakan sambutan ulang tahun ke-25 Saujana menerusi sebuah konsert solo. Terima kasih Zepp Kuala Lumpur atas peluang yang diberikan. 

“Sekurang-kurangnya, ada juga konsert nasyid dan acara dakwah yang diadakan di sini. Kami harap lebih banyak lagi kumpulan nasyid yang akan diberikan peluang seperti ini,” katanya.

Pada konsert berkenaan, sebanyak 22 buah lagu dipersembahkan dalam konsert tersebut seperti Suci Sekeping Hati, Bulan Bintang, Keluarga Bahagia, Sepohon Kayu dan banyak lagi.

Lebih istimewa lagi, kemunculan penyanyi nasyid legenda, Nazrey Johani bersama kumpulan NowSeeHeart dan Andika serta Bob Yusof menjadi antara tarikan konsert yang berlangsung selama dua jam lebih itu. 

Suffian memberitahu, pemilihan artis jemputan adalah berdasarkan semangat setia kawan dan persaudaraan yang terbina sekian lama dalam kalangan mereka.

“Kami memilih mereka kerana berdasarkan ukhuwah, persaudaraan dan semangat brotherhood yang terjalin sejak dahulu lagi. 

“Alhamdulillah, meskipun persediaan mengambil tempoh yang agak singkat, kami lega konsert ini berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota Saujana iaitu Wan Najran memaklumkan amat berbesar hati kerana dapat berkongsi pentas dengan figura bertaraf legenda seperti Nazrey.

“Pembabitan kami dalam nasyid bermula sejak di bangku sekolah lagi dan penyanyi-penyanyi nasyid seperti Nazrey banyak memberi galakkan untuk kami meneruskan perjuangan dakwah dalam nasyid.

“Boleh dikatakan beliau merupakan ikon yang cukup kami hormati. Kami hanya meneruskan legasi yang diperjuangkan penyanyi nasyid berpengalaman seperti beliau,” ujarnya.  – KopiPlanet.com

Kredit gambar: Scriptology Sdn Bhd

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button