Konsert sulung penyanyi Khai Bahar tetap akan diteruskan oleh pihak penganjur biarpun terpaksa menukar lokasi konsert berikutan masalah kapasiti di lokasi terdahulu.
Penganjur, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy berkata, lokasi asal yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya (IB) terpaksa ditukar kerana masalah kapisiti terhad penonton yang dibenarkan di IB mengikut norma baharu seperti yang disarankan oleh kerajaan.
“Saya ambil maklum mengenai pertanyaan daripada beberapa pihak termasuk peminat yang sudah membeli tiket. Jadi, ingin dinyatakan saya selaku penganjur akan tetap meneruskan konsert sulung Khai Bahar ini.
“Seperti mana besarnya harapan peminat untuk menyaksikan konsert ini, begitu juga komitmen saya dan pasukan untuk merealisasikan persembahan ini yang sudah dirancang sejak awal tahun lagi.
“Cuma, disebabkan insiden yang semua tidak dapat elak iaitu Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini membuatkan segala perancangan tergendala,” jelasnya.
Jelasnya, pihak IB hanya membenarkan 500 penonton termasuk kru dan dengan segala kos yang perlu ditanggung, beliau menganggap ia tidak berbaloi.
“Disebabkan itu, saya dan pasukan perlu mencari solusi terbaik. Memandangkan konsert ini tidak dibuat di IB, jadi nama konsert ini juga akan ditukar. Nama terbaharu juga akan diumumkan kelak,” kata Ogy memetik kenyataan media.
> Baca: Lepas Dengar Lagu Kelabu, Ramai Peminat Kongsi Masalah Jadi Mangsa Buli
Menurut Ogy lagi, setakat ini sebanyak 80 peratus persiapan konsert itu sudah dijalankan oleh penganjur termasuk Khai yang giat berlatih vokal demi memberikan yang terbaik buat peminat yang hadir pada konsertnya kelak.
“Sebenarnya, sebelum segala aktiviti konsert dan persembahan hiburan dibatalkan, Khai dan pasukan sudah bersedia. Ketika itu hanya menunggu tarikh sebenar konsert saja.
“Malah, selepas ada kelonggaran diberikan pihak kerajaan, pasukan juga sudah menyatakan kesediaan untuk kembali begitu juga dengan Khai. Jadi, adalah tidak adil jika konsert ini tidak diteruskan.
“Jika semua perbincangan berjalan lancar, saya akan umumkan tarikh baharu persembahan. Insya Allah kita nak buat sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Terdahulu, konsert sulung Khai itu dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac di Panggung Sari, Istana Budaya. – KopiPlanet.com