
Kucaimars Angkat Kisah Putus Cinta Kawan Sebagai Inspirasi Lagu
Selepas tampil dengan single kedua berjudul Khayalan pada Oktober tahun lalu, bekas bintang Big Stage musim kedua, Kucaimars kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Mudah Bagimu.
Mengambil inspirasi daripada kisah putus cinta rakannya, Kucaimars selaku penulis lirik berkata, “Saya mula buat single ini pada 2018 yang pada ketika itu saya buat untuk kawasan saya yang tengah putus cina dan menangis depan saya jadi malam itu juga saya ambil gitar dan terus rangka melodi.”
“Saya ada juga beri sedikit sedutan di laman sosial media saya. Alhamdulillah ia mendapat sambutan daripada peminat dan mereka meminta agar lagu ini siap sepenuhnya dan berada di semua pelantar digital. Saya berharap peminat saya berpuas hati setelah mendengar lagu ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Domestik Warner Music Malaysia, Shah Shamsiri berkata, pihak pengurusan berasa gembira kerana Kucaimars turut terlibat secara langsung dalam pembikinan single terbaharunya.
“Kami berasa gembira dengan pelancaran single terbaharu Kucaimars ini kerana dia sendiri terbabit secara langsung dalam penghasilan karyanya. Kami harap para peminatnya dapat melihat kesungguhan Kucaimars yang bukan sahaja ingin menyanyi tetapi juga menulis lagunya sendiri,” katanya.
Mudah Bagimu yang diterbitkan Warner Music Malaysia boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan iTunes sejak 3 Julai 2020. – KopiPlanet.com