Lagu Sampai Hati Dirakam Semula, Ameng & Awie Bakal Berduet
Vokalis kumpulan Spring, Ameng mendedahkan kumpulannya bakal kembali menghasilkan album menerusi himpunan beberapa buah lagu lama mereka yang akan dirakam semula dan diberi nafas baharu.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, antara yang paling istimewa adalah rakaman semula bagi lagu Sampai Hati yang pernah melonjakkan nama kumpulan mereka pada era 90-an.
“Pihak Sony Music memaklumkan yang kumpulan Spring antara penerima royalti tertinggi di bawah syarikat mereka. Jadi, mereka telah kembali melamar kami untuk menerbitkan album.
“Ada beberapa kelainan yang akan ditampilkan, antaranya rakaman semula lagu Sampai Hati yang akan saya nyanyi secara duet dengan Awie,” ujarnya sambil memberitahu telah mendapat persetujuan daripada vokalis kumpulan Wings itu.
Ujarnya, rancangan untuk berduet dengan Awie itu adalah idea daripadanya sendiri memandangkan dia sendiri merupakan peminat penyanyi berkenaan.
Selain itu, Ameng juga mendedahkan yang Zizan Razak juga akan terbabit untuk rakaman semula lagu Sejiwa dan pelawak tersebut memasukkan elemen rap untuk lagu berkenaan.
“Setakat ini Spring sudah ada 15 buah album dan kami akan memilih beberapa buah lagu daripada kesemua album berkenaan untuk dirakam dengan nafas baharu,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sekiranya Spring ada perancangan untuk membuat konsert reunion, Ameng menyatakan sememangnya mereka mempunyai hasrat tersebut.
Bagaimanapun, dia menjelaskan untuk menganjurkan konsert, mereka tidak berani menganjurkannya sendiri dan mahu mendapatkan bantuan mana-mana pihak yang sudi untuk bekerjasama.
“Pada tahun lalu Spring pernah membuat showcase di D’Saji, tetapi kurang mendapat sambutan sehingga saya mengalami kerugian dan sebab itu saya tak berani nak buat lagi.
“Namun begitu, ada pihak yang telah tampil untuk menjadi penaja konsert kami di Terengganu serta satu showcase di Kuala Lumpur,” jelasnya. – KopiPlanet.com