Cerita ArtisHiburan

Lama Kunci Mulut… Akhirnya Fiza Halim Sahkan Dirinya Kini Solo Sejak Tahun Lalu, Diceraikan Menerusi WhatsApp

Setelah agak lama mengunci mulut mengenai status perkahwinannya, bekas anggota kumpulan Elite iaitu Fiza Halim mengesahkan dia sudah bercerai dengan Aizat Al Jefri sejak 22 Julai tahun lalu.

Fiza berkata, dia perlu mengambil masa untuk mendedahkan perkara sebenar kerana mahu mencari kekuatan menceritakan statusnya itu.

“Saya ambil masa bagi mendedahkan status diri dan ia bukan mudah. Cuma baru sekarang ini saya ada kekuatan untuk mendedahkannya. Kami bercerai talak satu dan diceraikannya menerusi WhatsApp.

“Punca perpisahan kami itu biarlah saya simpan dan tanggung sendiri. Saya tak mahu membuka aib sesiapa dan sedar dengan status pernah berkahwin tiga kali, pasti ada yang akan memandang serong,” jelasnya.

Fiza mendirikan rumah tangga dengan Aizat yang juga juruterbang berstatus duda dua anak pada Disember 2016 dikurniakan cahaya mata Baby Aleena kini berusia hampir tiga tahun.

Dalam pada itu, Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim akur dengan suratan hidup serta mengakui sukar melelapkan mata untuk tidur sejak tiga minggu lalu.

“Memang rasa mengantuk, tetapi tak boleh nak tidur. Otak pula seolah-olah berjalan memikirkan banyak perkara, termasuk nasib diri. Saya ‘lost’ dan terkapar-kapar memikirkan pengakhiran hidup nanti bagaimana.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ada yang datang membuka jalan untuk menggalakkan diri menyertai cabang kerja baru. Mungkin saya akan mempertimbangkan kerja itu,” jelasnya.

Menurutnya, buat masa ini dia masih belum terfikir untuk menyanyi atau berlakon dan sekarang dia lebih banyak membuat review produk di Instagram serta sedia bergelar duta produk jika ditawarkan.

“Cuma saya belum terfikir nak berlakon atau bernyanyi semula setakat ini. Selama ini pun, saya juga membuat ulasan produk dan perkhidmatan di Instagram. Saya juga terbuka jika ada tawaran bergelar duta selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fiza mengakui bahawa dia agak beruntung kerana bekas suami pertamanya, Ahmed Farriq Zainul Abidin sangat menyokongnya terutama menjaga dua anak mereka, Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.

Mereka berkahwin pada tahun 2006, tetapi bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.

Kemudian dia seterusnya berkahwin dengan penyanyi Adam AF pada September 2013, namun perkahwinan kedua juga tidak dapat bertahan lama.

Sementara itu, mengenai gambar mesranya bersama Saiful Apek sehingga timbul desas-desus mereka sudah berkahwin, Fiza menafikan perkara berkenaan.

“Tak ada istilah saya sudah bergelar isteri kedua Saiful. Sebenarnya kami bertemu di sebuah program ‘game show’. Gambar berdua kami yang tular itu pun dirakamkan isterinya sendiri.

“Kami masing masing gelak kerana tahu perkara sebenar. Mungkin silap saya kerana ketika itu status kisah rumah tangga ketiga saya masih samar samar. Jadi ia mengundang kebencian ramai,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
4
+1
0
+1
0
+1
1
+1
1
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button