
Lari Imej Balada, Syamel Cuba Genre Pop Dengan ‘Kau Pun Sama’
Lebih dikenali dengan lagu-lagu berentak balada, Syamel kini tampil membuat perubahan menerusi single terbaharunya berjudul Kau Pun Sama.
Menurut penyanyi berkenaan, lagu yang berentak pop itu merupakan hasil gubahan dia bersama penyanyi hip hop iaitu Kidd Santhe.
“Lagu itu terhasil apabila idea untuk mengadakan satu lagu yang berentak laju keluar daripada pemikiran saya dan juga pihak pengurusan.
“Pada saya, kalau lagu balada, lagu itu harus menjadi sebuah lagu balada yang sedap dan berkualiti. Dan andai kata jika inginkan lagu berentak laju, ia harus menjadi sebuah lagu yang berkualiti juga,” ujar Syamel tentang lagu tersebut.
Syamel atau nama sebenarnya Syamel Aqmal Mohd Fodzly mengharapkan peminat dapat menerima perubahan yang cuba dilakukannya selain single baharunya ini turut mendapat perhatian meluas seperti lagu-lagunya sebelum ini Hidup Dalam Mati, Lebih Sempurna dan Aku Cinta.
“Saya harap peminat dapat terima rentak muzik lagu catchy yang dibawakan saya,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment. – KopiPlanet.com