
Lee Min Ho Akan Saman Netizen Tulis Komen Fitnah Mengenainya
Pelakon The King: Eternal Monarch, Lee Min Ho bersama pihak pengurusannya, MYM Entertainment tidak teragak-agak untuk menyaman mana-mana individu yang memberikan komen negatif terhadap aktor tersebut di laman sosial.
Firma guaman yang mewakili Min Ho, LIWU berkata pihak mereka sedang meneliti beberapa komen berunsur fitnah yang dibuat terhadap aktor kacak berusia 33 tahun itu.
Antara kandungan komen yang diteliti firma itu seperti komen berbentuk serangan peribadi, gangguan seksual, kata-kata fitnah dan khabar angin serta gosip yang tidak benar mengenai Min Ho.
“Kami dalam proses untuk mengumpul bukti berkaitan komen-komen ‘jahat’ yang ditulis di platform online mengenai Lee Min Ho. Pihak kami akan mengenal pasti dari mana datangnya dalang-dalang yang sering memberikan komen-komen buruk terhadap pelakon itu,” kata wakil peguam Min Ho.
Kali terakhir muncul dengan drama bersiri The King: Eternal Monarch, Min Ho kini sudah kembali aktif berlakon selepas dua tahun berehat kerana menjalani latihan ketenteraan wajib di Korea Selatan. – KopiPlanet.com