
Seorang Lelaki Cuba Culik Lana Del Rey Ditahan Polis
Satu cubaan menculik penyanyi Lana Del Rey telah berjaya dipatahkan selepas seorang suspek berjaya ditahan pihak polis.
Suspek, Michael Hunt ditahan atas kesalahan cubaan menculik dengan bersenjatakan pisau selain dakwaan menghendap penyanyi tersebut sebelum Lana dijadualkan mengadakan persembahan di Amway Center di Orlando, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak polis di laman Twitter, suspek ditahan selepas pihak berkuasa berjaya mengesannya sebelum dia sempat mendekati Lana di tapak konsert terbabit.
Suspek disiasat selepas dipercayai menghantar mesej berbaur ugutan di media sosial kepada Lana, 33, yang cukup terkenal dengan lagu Summertime Sadness itu.
Suspek kini ditahan di penjara Orange County dan tidak dibenarkan diikat jamin buat masa ini.
Sementara itu, di laman Twitternya, Lana tidak terkesan dengan insiden cubaan menculiknya apabila memuat naik satu status penghargaan buat penonton yang hadir ke konsertnya dan akan tetap meneruskan baki sembilan lagi siri konsert jelajahnya di negara Uncle Sam itu. – KopiPlanet.com