Cerita ArtisHiburan

Lepas 3 Lagu Balada, Caliph Buskers Tampil Dengan Lagu Rancak

Sebelum ini lebih dikenali dengan lagu-lagu berentak balada, membuat kelainan kumpulan Caliph Buskers kini tampil dengan single terbaharu yang memperlihatkan mereka mencuba genre rancak pula.

Selain itu, Caliph Buskers turut membawa kelainan apabila mengetengahkan satu-satunya ahli wanita mereka, Nadira sebagai penyanyi utama bagi single Hanya Mimpi di samping vokalis, Azmi Saat.

Mengakui pada mulanya agak malu untuk menyanyikan lagu Hanya Mimpi, namun dorongan yang diberikan rakan sekumpulan serta komposer lagu tersebut iaitu Faizal Tahir telah memberikan keyakinan kepadanya untuk mencuba.

“Ketika mula-mula ditawarkan untuk menyanyikan lagu ini, saya berasa sedikit segan dan malu sebab saya ini pemalu orangnya. Tapi bila kawan-kawan Caliph Buskers dan abang Faizal kata saya boleh buat jadi saya teruskan sahaja.

“Saya juga ada masuk kelas vokal bagi memperbaiki lagi mutu nyanyian dan vokal saya. Selepas ini saya juga cuba nak ubah diri untuk jadi lebih berani dan berkeyakinan berhadapan dengan orang ramai,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Caliph Buskers ditemui pada majlis pelancaran single Hanya Mimpi yang diadakan di Neo Damansara, semalam.

Lagu Hanya Mimpi merupakan ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Romeo. Hanya Mimpi merupakan single keempat kumpulan itu selepas lagu Hanya Namamu, Romancinta Akustik dan Buta.

Menurut Azmi, mereka sengaja mahu mencuba genre pop bagi mempelbagaikan lagi lagu yang boleh dibawakan oleh Caliph Buskers.

“Walaupun pada awalnya agak janggal untuk menari ikut groove muzik ini tapi kami harap lagu ini akan dapat sambutan daripada peminat.

“Selepas tiga lagu balada sebelum ini, sudah tiba masa untuk kami cuba genre lain pula, harap-harap formula ini menjadi,” katanya mewakili ahli kumpulan yang lain.

Selain Azmi dan Nadira, Caliph Busker turut dianggotai Zaki, Nirwan dan Fendy.

Hanya Mimpi yang diterbitkan Faithful Music dan edaran Warner Music Malaysia ini sudah dilancarkan pada 16 November lalu dan boleh didapati di kesemua pelantar muzik digital. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button