Cerita ArtisHiburan

Mahu Balas Pengorbanan, Haziq Hussni Dedikasikan Restoran Jom Kono! Untuk Ibu & Bapanya

Setelah berjaya sebagai seorang penyampai radio dan pengacara, kini Haziq Hussni melangkah setapak lagi dengan menceburi bidang perniagaan menerusi pembukaan restoran Jom Kono!

Haziq berkata, restoran yang sudah beroperasi di SS15 Subang Jaya sejak dua bulan lalu itu adalah perniagaan yang diusahakan bersama adiknya, Raziq Hussni yang juga seorang cef.

“Kami berdua memang rapat sejak kecil lagi dan selalu berbincang untuk melakukan sesuatu bersama. Secara kebetululan pula ada individu yang mahu menjual perniagaan dan kami terus ambil peluang untuk mengambil alih restoran ini.

“Selain itu, kami berdua beranikan diri keluarkan duit simpanan masing-masing untuk buat modal tanpa membuat sebarang pinjaman bank,” jelasnya ketika ditemui semasa pelancaran restoran berkenaan baru-baru ini.

Ujar Haziq, biarpun langkah yang diambil itu berdepan risiko tinggi disebabkan negara masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika mula-mula beroperasi dahulu, namun dia mampu menarik nafas lega dengan sambutan yang diterima.

“Sewaktu awal-awal beroperasi, tidak dinafikan sambutannya agak perlahan kerana masih dalam PKP dan ramai yang belum tahu tentang kewujudan Jom Kono!

“Bagaimanapun, kini sambutan yang diterima semakin baik sejak PKP dilonggarkan serta lokasi restoran ini yang menjadi tempat tumpuan ramai,” ujarnya.

Sementara itu, Haziq juga memberitahu dia dan adiknya turut mendedikasikan restoran berkenaan buat ibu dan bapanya bagi membalas pengorbanan membesarkan mereka berdua.

“Sebenarnya bapa saya akan pencen tidak lama lagi dan kami rasa inilah masa terbaik untuk kami berikan sesuatu. Selepas ini dia tak perlu lagi penat bekerja, sebaliknya menjadi bos dan jaga restoran ini bersama ibu.

“Segala keuntungan memang kami nak bagi pada ibu dan ayah. Setiap hari saya akan hubungi mereka minta doa agar perniagaan kami ini sentiasa diberkati dan dipermudahkan,” akuinya.

Jom Kono! menyajikan pelbagai makanan fusion menarik dan antara menu yang menjadi tumpuan adalah Pulled Beef Fried Rice. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button