
Mahu Mainstreamkan Pentas Teater Indie – Ridhwan Saidi
Penerima geran Tabung Dana Krishen Jit Astro bagi tahun ini, Ridhwan Saidi bercita-cita ingin mengangkat teater indie ke arah lebih dikenali di mata masyarakat Malaysia.
Ridhwan yang menerima geran sebanyak RM5,000 akan memperkembangkan teater Modular yang merupakan hasil buah fikirannya.
“Dana ini sangat membantu sebab teater kami berskala kecil. Saya ajak kawan-kawan buat dan ia menjadi. Orang yang berlakon ini perlu stabil juga (dari segi kewangan/dana), walaupun sedikit sekurang-kurangnya ia membantu untuk pembayaran lokasi dan pelakon,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis penyerahan dana Tabung Krishen Jit Astro di Damansara hari ini.

Ridhwan, 33, yang juga merupakan seorang novelis beranggapan scene teater indie akan berkembang di masa akan datang seperti mana yang berlaku terhadap industri buku indie yang kini semakin diterima kebanyakan orang di luar sana.
“Industri buku indie dah melalui gelombang dan saya rasa teater indie pun akan melalui gelombang yang sama.
“Saya ingin terapkan teater yang tidak terlalu protokol, tidak terlalu formal malah dari segi lokasi pun sama. Di mana-mana kita boleh buat teater asalkan tempatnya bersesuaian,” katanya yang akan menganjurkan siri keempat teater Modular pada April tahun hadapan.
Tiga siri teater Modular sebelum ini telah dipentaskan pada Mac, Mei dan Oktober lalu yang mana ia mencatatkan lebih dari 300 penonton yang memberikan sokongan terhadap teater skala kecil tersebut.
“Kami menghebahkan pertunjukan menerusi laman sosial dan penonton yang datang pun agak pelbagai, ada yang tua, ada yang muda dari pelbagai latar belakang.
“Teater Modular pernah dipersembahkan di pelbagai lokasi dan dengan adanya dana ini mungkin pentas yang lebih besar boleh digunakan,” katanya.
Harga tiket serendah RM30 bagi setiap pementasan dan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai teater tersebut, anda boleh layari www.mokamochaink.com. – KopiPlanet.com