Cerita ArtisHiburan

Majlis Tahnik Dihadiri Individu Tertentu Jadi Pertikaian, Siti Nurhaliza Tampil Berikan Penjelasan

Baru-baru ini, majlis tahnik anak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Muhammad Afwa menjadi persoalan netizen gara-gara kehadiran individu tertentu serta berlakunya aktiviti rentas negeri dan melanggar SOP.

Sehubungan itu, satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh penyanyi berkenaan bagi menjelaskan isu yang timbul itu.

“Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku.

“Sebaliknya, individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan acara dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aturcara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti  seperti yang tertakluk pada tempoh itu. 

Ujarnya, majlis terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ke-7 mengikut sunnah Rasulullah.

“Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka. 

“Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain,” jelasnya.

Menurut Siti, sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, pihaknya tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan mereka cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

Jelasnya lagi, penjelasan yang dibuat bukanlah untuk mempertahankan diri, tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

“Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak. Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan.

“Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan. Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
3
+1
0
+1
1
+1
2

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button