Rancangan TVTV

Malaysia Anjur Kejohanan BEYBLADE X SEA CUP 2024, Turut Dilancarkan Siri TV BEYBLADE X Tayangan Di Astro CERIA

Para peminat permainan gasing moden dari Jepun, BEYBLADE, dari seluruh Asia Tenggara berkumpul di sini pada hari ini bagi menyaksikan BEYBLADE X Southeast Asia Cup (SEA Cup) yang dirasmikan oleh Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Penganjuran acara ini merupakan detik penting dalam komuniti BEYBLADE, meraikan ulang tahun ke-25 permainan tersebut dan popularitinya yang berterusan sejak diperkenalkan pada tahun 1999.

BEYBLADE X SEA Cup 2024 merupakan kejohanan serantau pertama selepas pelancaran BEYBLADE X pada tahun 2023. Wakil pelbagai negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, dan Indonesia bertanding dalam dua kategori: Kategori Junior untuk umur 6-12 tahun dan Kategori Terbuka untuk umur 13 tahun ke atas.

Para peserta setiap kategori berentap untuk menjuarai pertandingan dan memperoleh hadiah unik, sebuah Rare Bey .COBALTDRAKE 4-60F.

Menjelang SEA Cup, setiap negara yang menyertai menganjurkan kejohanan tempatan (dipanggil G1) untuk memilih pesaing terbaik mereka. Pemenang dan naib johan dari Kategori Junior, bersama dengan pemenang dari Kategori Terbuka, terpilih untuk bertanding di SEA Cup.

Acara G1 ini, yang terkenal dengan skala yang lebih besar dan taruhan yang lebih tinggi, menyaksikan pertarungan sengit apabila pesaing berjuang untuk peluang mewakili negara masing-masing. Hadiah untuk tiga pemenang teratas dalam setiap kategori G1 termasuk versi emas, perak, dan gangsa DRANSWORD 3-60F.

Dalam SEA Cup yang julung kali diadakan, pemenang pertempuran individu membawa pulang trofi dan Beyblade khas, Special Bey – Cobalt Drake 4-60F, manakala pasukan juara dalam pertempuran berpasukan dianugerahkan pingat juara.

Sorotan utama majlis ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara TAKARATOMY dan ADK Emotions Inc., kedua-duanya dari Jepun, dengan dua syarikat tempatan, Animasia Studio Sdn. Bhd. dan One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP).

MOU tersebut menggariskan peranan dan objektif mereka: TAKARATOMY sebagai pemberi lesen & mainan utama, ADK Emotions Inc. sebagai pemberi lesen, Animasia sebagai pemegang lesen utama jenama BEYBLADE (bukan mainan, penerbitan & acara) di Malaysia, Indonesia, Singapura & Brunei, dan OUP sebagai penganjur acara, rakan promosi dan pembangunan jenama.

Kerjasama ini bertujuan untuk memudah carakan penganjuran acara BEYBLADE X berskala besar di Malaysia dalam tempoh tiga tahun mendatang, mengembangkan jenama BEYBLADE melalui perkongsian strategik dan inisiatif pemasaran, dan berhubung dengan peminat tempatan, dengan Litt Tak Sdn. Bhd. bertindak sebagai pengedar mainan rasmi di Malaysia.

Usahasama ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai peminat di seluruh rantau Asia Tenggara, mendekati penyokong setia BEYBLADE, dan merekrut pemain baru melalui acara serantau sekaligus mempromosikan BEYBLADE X sebagai sejenis sukan kompetitif.

Penganjuran kejohanan ini juga diiringi dengan pelancaran siri TV BEYBLADE X terbaru di Astro CERIA, yang mula ditayangkan pada 18 Julai. Siri ini mengikuti pengembaraan watak-watak utama, Kurosu Ace, Kazami Bird, dan Nanairo Multi dalam mengharungi pelbagai cabaran untuk menakluki X Tower.

Siri ini juga bekerjasama dengan kumpulan rock terkemuka Jepun, ONE OK ROCK untuk lagu tema ‘PROVE’ dan kumpulan K-Pop Korea AESPA untuk lagu penutup ‘Zoom Zoom’, memanfaatkan populariti kedua-dua kumpulan muzik tersebut untuk menarik minat lebih ramai penonton.

“Di FINAS, kami komited untuk menyokong dan mempromosikan industri kreatif tempatan, dan kami menggalakkan lebih ramai pemain tempatan untuk bekerjasama dengan jenama mega antarabangsa seperti BEYBLADE untuk menambah baik industri kreatif.

“Kita membuka pintu untuk belajar daripada kejayaan jenama-jenama seperti BEYBLADE bagi mempertingkatkan pengalaman penonton baik di dalam negara mahupun di peringkat global,” kata Azmir ketika merasmikan pertandingan tersebut.

BEYBLADE X SEA Cup bukan sahaja mempamerkan semangat kompetitif dan bakat peserta tetapi juga menyerlahkan usaha kerjasama pemain industri tempatan dan antarabangsa dalam mempromosikan dan mengembangkan jenama BEYBLADE di Asia Tenggara. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button