
“Masa Sakit, Dah Siap-Siap Minta Maaf Pada Shuib”
Penyanyi Siti Sarah Raisuddin mendedahkan dirinya sudah awal-awal lagi memohon maaf kepada suaminya, Shuib Sepahtu sebelum dirinya dikejarkan ke hospital.
Sarah dimasukkan ke hospital minggu lalu disebabkan tahap kesihatannya merosot sehingga menyebabkan tekanan darahnya rendah.
Menurut penyanyi genit berusia 33 tahun itu, ini merupakan pengalaman pertamanya mengalami kesakitan sehinggakan menyebabkannya terpaksa dimasukkan ke dalam wad.
“Saya rasa macam tak sihat badan sejak beberapa hari sebelum itu tapi saya tak hiraukan.
“Tak sangka jadi teruk bila dah nak tidur malam itu badan rasa tak sedap. Nasib baik cepat ke hospital.
“Sebelum dikejarkan ke hospital, saya dah siap-siap minta maaf kat Shuib, sebab saya tak pernah rasa sakit teruk macam ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Sarah ditemui pada majlis pelancaran produk kesihatan rambut Sugardoll di Flora Terrace di ibu kota hari ini.
Pengasas Sugardoll, Nabilah Nazib telah memeterai Sarah selama setahun bergelar duta untuk produk penjagaan rambut itu.
Doktor mengatakan tekanan darahnya rendah berpunca daripada kesibukannya sehingga tiada masa untuk merehatkan diri.
“Saya dimasukkan ke hospital sehari sahaja, saya jenis tak suka duduk lama-lama di hospital.
“Saya akui saya memang jenis tak displin ambil makanan tambahan serta vitamin dan ia antara sebab-sebab saya mudah letih dan penat. Di hospital saya cuma dapat rawatan masuk air dan doktor nasihatkan agar rehat secukupnya,” katanya.
Menceritakan kejadian itu, Sarah berkata Shuib sebenarnya panik dengan keadaan yang menimpanya namun suaminya pandai menyembunyikan perasaannya pada ketika itu.
Selain itu, Sarah turut menafikan dakwaan mengatakan dia dimasukkan ke hospital disebabkan diet melampau.
“Saya tak diet melampau, kalau nak tahu saya memang kaki makan. Kena makan, tak makan itu bunuh diri namanya.
“Saya masuk hospital sebab kepenatan mana ada disebabkan diet melampau,” jelasnya lagi. – KopiPlanet.com