
Matthew Perry Sahkan Penggambaran Friends Reunion Bermula Mac 2021
Pelakon sitkom Friends, Matthew Perry mengesahkan rancangan istimewa yang menggabungkan semula enam pelakon siri itu akan memulakan penggambaran mereka pada Mac tahun hadapan.
Friends Reunion sepatutnya memulakan rakaman mereka pada Mac tahun ini namun disebabkan penularan wabak Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke hari ini.
Menerusi ciapan di Twitter, Matthew yang membawakan watak Chandler Bing menulis, “Friends reunion akan memulakan penggambaran Mac depan. Nampaknya kami akan sibuk tahun depan dan dah tak sabar untuk memulakannya.”
Selain Matthew, siri itu turut dibintangi Jennifer Aniston, Courtney Cox, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc dan David Schwimmer.
Awal tahun ini, HBO Max mengumumkan akan mempertemukan semula bintang siri Friends yang cukup menjadi fenomena pada tahun ia mula bersiaran sejak 1994.
Friends yang bersiaran selama 10 musim mengisahkan tentang enam sekawan yang mendiami kota New York menjalani kehidupan yang penuh warna-warni merangkumi persahabatan, cinta dan kerjaya masing-masing. – KopiPlanet.com