Cerita ArtisHiburan

Menantu Siti, Tya Ariffin Teruskan Legasi Keluarga Jual Jamu

Meneruskan perniagaan warisan keluarganya, pelakon kelahiran Indonesia, Tya Ariffin yang juga merupakan menantu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil dengan produk jamunya, Mutyara Beauty di Malaysia.

Menurut Tya atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandari Ariffin, 24, dia sebenarnya sudah lama memasang angan-angan untuk meluaskan perniagaan keluarganya di sini dan akhirnya impiannya itu berjaya terlaksana pada tahun ini dengan pertolongan daripada suaminya, ahli perniagaan, Asyraf Datuk Seri Mohd Khalid.

“Akhirnya cita-cita saya untuk memperkenalkan pemakanan jamu di kalangan orang Malaysia tercapai. Formulasi jamu Mutyara Beauty ini merupakan resipi jamu tradisi daripada keluarga saya yang mengusahakan perniagaan jamu di Palembang. Kiranya saya meneruskan legasi bapa dengan memperkenalkan jamu keluarga di Malaysia. Kita semua tahu bila jamu sahaja, sering dikaitkan dengan orang Indonesia.

“Saya nak lupuskan stigma itu dengan membawa kebaikan minum jamu kepada orang di sini sebab kebiasaannya orang selalu ingat jamu itu hanya untuk orang lebih berusia atau wanita yang baharu lepas bersalin sahaja. Sebenarnya tidak, ia sesuai untuk semua. Macam jamu Mutyara Beauty ini, ia boleh diminum gadis berusia 16 tahun dan ke atas. Banyak khasiat semula jadi yang ada dalam jamu keluaran saya dan ia sudah pun mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Tya ditemui pada majlis pelancaran Mutyara Beauty yang telah berlangsung di WowKL, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut ibu kepada si cilik, Arif Jiwa Asyraf ini, dia sendiri turut mengamalkan jamu sejak di bangku sekolah berikutan khasiat yang terdapat dalam minuman kesihatan itu.

Jamu Mutyara mengandungi makanan sunnah seperti habatus sauda, kurma, madu dan halba selain ditambah perasa campuran buah Cranberries bagi memberikan rasa jamu yang tidak pahit dan sesuai untuk golongan usia.

“Saya sendiri menjadi pengamal jamu tegar. Saya lihat potensi jamu ini wajar dikormersialkan apatah lagi ia hasil resepi turun temurun keluarga.

“Saya tidak mahu khasiat jamu itu dibiarkan begitu sahaja sebaliknya ingin berkongsi dengan seluruh wanita di luar sana betapa pentingnya amalan ini,” ujarnya lagi.

Jamu Mutyara Beauty yang didatangkan dalam kandungan minuman sebanyak 350 mililiter (350 ml) itu dijual pada harga pasaran RM68 sebotol.

Setakat ini, mereka telah melantik seramai 300 agen dan stokis di seluruh Malaysia bagi melancarkan lagi jualan jamu keluaran aktres cantik itu. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Tya Ariffin

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button