
Meriah Bersama: Astro Gabung Kemeriahan Raya Dan Piala Dunia
Bersempena kedatangan bulan Syawal yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, stesen televisyen berbayar, Astro tampil dengan pelbagai variasi program menarik untuk dihidangkan kepada penonton setia mereka.
Antaranya, sajian pelbagai drama menarik yang pastinya menggamit peminat setia drama tempatan.
Drama yang paling ditunggu-tunggu pastinya gandingan mantap dua pelakon popular, Neelofa dan Zul Ariffin menerusi naskhah Ti Amo Sweetheart 100 Hari! yang akan bersiaran dari 15 hingga 19 Jun pada jam 7 malam.
Selain itu, drama yang mendapat rating tinggi di Astro Ria, Awak Suka Saya Tak turut tampil dengan versi raya mereka. Masih mengekalkan gabungan asal hero dan heroinnya, Alvin Chong serta Emma Maembong. Drama raya ini memaparkan cabaran yang perlu dilalui pasangan ini selepas sah bergelar suami-isteri.
Untuk tayangan malam raya, Astro menerusi saluran khas raya iaitu Raya HD 122 akan menayangkan Bonanza Raya. Rancangan itu menawarkan pelbagai hadiah hebat termasuklah wang tunai untuk dimenangi dengan hanya menjawab soalan mudah yang bakal dipaparkan.
Tidak ketinggalan, Astro juga menyajikan rancangan hiburan dan muzikal seperti Gegar Raya Vaganza, Caca Marba Glamour Raya dan Rumah Terbuka AF.
Menurut Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, kesemua program yang disiarkan ini pastinya dapat menepati selera kesemua pelanggan Astro dari pelbagai peringkat umur.
“Memanfaatkan semangat kemeriahan dan kebersamaan ini, Astro menyemarakkan lagi pengisian kempen ‘Meriah Bersama’ dengan menghimpunkan program-program terhebat merangkumi rancangan hiburan, kandungan premium dan digital termasuklah liputan sukan dan berita di kesemua platform yang kami miliki.
“Sebagai tanda penghargaan, kami bawakan juga saluran Raya HD istimewa untuk semua para pelanggan tanpa sebarang bayaran tambahan sepanjang Syawal. Pastinya sambutan raya pada tahun ini akan lebih bermakna dengan penawaran kandungan Astro yang amat komprehensif,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Khairul ditemui pada majlis Previu Program Meriah Bersama Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain menyajikan program raya, Astro turut tidak melupakan demam Piala Dunia Rusia 2018 yang berlangsung serentak dengan bulan Syawal.
“Khas buat peminat sukan bola sepak pula, sambutan Aidilfitri tentunya lebih meriah dengan liputan komprehensif kesemua 64 perlawanan yang dibawakan secara eksklusif oleh Astro selaku penyiar ramsi Piala Dunia FiFa 2018 di Rusia yang kebetulan jatuh sewaktu musim perayaan ini,” katanya. – KopiPlanet.com