EventHiburan

Metal Legend 2 Gabung Kehebatan Ella, Prime Domestic & Cromok

Susulan kejayaan Konsert Metal Legend Live In Concert yang menampilkan paduan dua band terkemuka Malaysia, XPDC dan Cromok yang berlangsung pada Februari lalu, penganjur, Dream Stage sekali lagi akan membawakan konsert siri kedua pada bulan September ini.

Bakal berlangsung selama dua hari, Konsert Metal Legend Live In JB akan diadakan selama dua hari dan penonton bakal dihiburkan dengan empat nama besar seperti ratu rock negara, Ella, kumpulan Prime Domestic, Cromok dan Sil Khannaz.

Menurut penganjur, menerusi konsert itu, Ella dan Prime Domestic akan bergabung dalam satu pentas pada 7 September manakala konsert Cromok dan Sil Khannaz pula berlangsung pada keesokan hari (8 September).

Kedua-dua konsert berskala besar itu akan diadakan Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru pada jam 8.30 malam.

Menurut penganjur, mereka percaya konsert kali ini akan mendapat sambutan hangat di kalangan peminat keempat-empat gergasi rock dan metal negara ini.

Sementara itu, Ella berkata dia akan cuba memberikan yang terbaik pada konsert itu kelak.

Bakal memainkan 15 seleksi lagu termasuk daripada album terbaharunya, Peace, Love Dan Rindu, Ella turut menyatakan dia bakal memberikan kejutan buat peminat setianya.

“Kalau nak tahu kejutan apa, datanglah menonton konsert ini nanti. Satu yang boleh saya janjikan ada persembahan duet dengan Korie menerusi lagu Pergilah Kasih. Di mana-mana saya pergi, memang ramai yang akan minta lagu ini jadi memang saya tidak boleh menolak untuk nyanyikan lagu tersebut,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ella ditemui pada majlis sidang media Konsert Metal Legend 2 Live In JB di Oasis Village, Ara Damansara baru-baru ini.

Sementara itu, kumpulan Prime Domestic yang diwakili Joe pula berkata mereka berasa cukup bertuah dapat berkongsi satu pentas dengan Ella.

“Kami rasa berbangga dapat satu pentas dengan Ella memandangkan kami merupakan kumpulan yang baharu sahaja bertapak.

“Untuk konsert ini, kami akan cuba beri yang terbaik selain memberikan kepuasan kepada peminat muzik metal secara keseluruhan,” katanya.

Selain persembahan artis hebat, konsert ini juga menjanjikan sistem bunyi 5:2 Stereo Surround dan permainan cahaya yang menarik untuk kepuasan maksima penonton.

Tiket-tiket yang dijual pada harga RM48 (Lepak Zone), RM68 (Trash Zone), RM90 (Hardcore Zone) RM180 (VIP Lepak Zone) dan RM250 (Hardcore Zone) boleh didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button