
Minuman Berkhasiat Origina Buat Remy Ishak Kembali Minum Susu
Pelakon Remy Ishak mengakui dia bukanlah seorang penggemar minuman bersusu, namun keunikan minuman jenama Origina telah berjaya mengubah pendiriannya itu.
Menurut Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, 37, bahan-bahan organik dan berkhasiat dalam Origina telah menyebabkannya mula mengamalkan penggambilan susu dalam kehidupan sehariannya.
“Kalau nak tahu sebenarnya saya bukanlah seorang yang suka minum susu. Tapi bila sekali cuba air Origina ini saya terus terpaut hati dengan rasanya.
“Origina menawarkan minuman dengan kualiti rasa dan standard yang tinggi. Kesemua produk Origina setanding dengan jenama minuman antarabangsa, malah lebih berkhasiat dan menyihatkan,” katanya kepada KopiPlanet.com
Remy ditemui pada majlis pengumumannya sebagai duta Origina yang berlangsung di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sejak ditubuhkan pada 2014, Origina yang merupakan keluaran syarikat PS Food & Beverage Sdn. Bhd telah mengeluarkan tiga kategori minuman, berasaskan susu, jus buah-buahan dan teh campuran jus buah-buahan.
Di bawah kategori minuman berasaskan susu terdapat tiga produk iaitu susu coklat, susu kurma dan teh tarik.
Jus buah-buah pula menawarkan jus epal, jus anggur, jus durian belanda dan jus delima manakala kategori teh campuran jus buah-buahan menyediakan perisa teh lemon dan teh epal.
Pengarah PS Food & Beverage, Nur Fatin Diana Mohd Zain memberitahu penglibatan Remy bersama Origina mewujudkan persekitaran penjenamaan baharu yang tidak pernah dilaksanakan jenama minuman lain.
“Pelantikan Remy melangkaui peranan seorang duta kerana kita mahu beliau menjadi sebahagian daripada keluarga Origina. Imej Remy yang sering mempromosikan gaya hidup sihat juga menepati identiti jenama Origina,” katanya.
Kesemua minuman Origina dipek dalam bentuk ‘flexible packaging soft pack’ dengan matlamat melestarikan alam sekitar dan menjimatkan ruang penyimpanan.
Selain Malaysia, jenama Origina telah menembusi pasaran luar negara di Singapura, Brunei, Vietnam, Kemboja dan China. – KopiPlanet.com