FilemTerkini

MK K-Clique & Azira Shafinaz Kali Pertama Bergandingan Menerusi Naskhah Komedi Romantik Bunga Dan Kayu

Penyanyi rap terkenal tanah air, MK K-Clique yang sebelum ini sentiasa tampil dengan imej ‘swag’, kini terus mencipta nama dalam industri seni dengan tampil berbeza menerusi watak romantis buat pertama kali menerusi filem romantik komedi kekeluargaan, Bunga Dan Kayu.

Apa yang menariknya, MK telah bergandingan dengan ahli kumpulan De Fam iaitu Azira Shafinaz, di mana keserasian mereka dalam menggerakkan watak Noah dan Bunga menjadi tarikan utama filem terbitan Infinitus Gold Sdn Bhd itu.

Penerbit Eksekutif, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya amat teruja kerana ia merupakan filem romantik komedi kedua yang dihasilkan selepas Saya Jual Ya Bang.

“Pemilihan kedua-dua tonggak utama, MK K-Clique dan Azira Shafinaz ternyata sangat serasi, seterusnya memudahkan lagi perjalanan penggambaran filem ini.

“Selain itu, penampilan pelakon lain seperti Zalif Sidek, Yazmin Aziz, Elly Ariffin, Azad Jazmin dan Kazar telah memberikan persembahan terbaik dan ia merupakan sebuah naskhah romantik komedi yang sesuai untuk tontonan semua,” ujarnya.

Gayatri berkata, pihaknya juga sangat bertuah kerana filem berkenaan mendapat sentuhan Waan Hafiz yang bertindak sebagai pengarah.

“Kami juga gembira apabila saudara Waan Hafiz bersetuju untuk mengarahkan filem ini. Pengalaman beliau menghasilkan karya-karya genre komedi dan penuh variasi sebelum ini ternyata berhasil dengan Bunga dan Kayu,” ujarnya.

Filem berkenaan berkisar tentang Noah seorang selebriti terkenal tanah air sengaja memilih Bunga sebagai kekasihnya atas sebab tertentu dan tidak munasabah.

Sikap Noah menjadi lebih tidak terkawal apabila mendapat tahu gadis yang baru dikenalinya, Bunga menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon.

Oleh sebab itu, Noah telah menawarkan peluang kepada Bunga yang bakal mengundang 1001 bencana, bukan hanya pada Bunya tetapi Noah juga. 

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila Infinitus Gold sekali lagi meletakkan kepercayaan kepada pihak Astro untuk mempersembahkan filem terbarunya di platform Astro First.

“Filem Bunga Dan Kayu mengetengahkan elemen romantik, komedi dan kekeluargaan, jadi melalui jalan ceritanya yang santai dan menghiburkan, kami yakin ia sesuai ditonton seisi keluarga.

“Lebih-lebih lagi pada Hari Raya Aidilfitri yang di mana semua ahli keluarga berkumpul. Kami berharap agar filem ini mampu mengisi Hari Lebaran penonton dengan senyuman,” ujarnya.

Bunga Dan Kayu bakal temui penonton Syawal ini iaitu bermula 3 Mei 2022, Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button