
Kebiasaan filem banyak menyajikan tentang plot penceritaan mengenai kisah kasih sayang di antara ibu dan anak mereka. Jarang-jarang sekali hubungan tentang bapa dan si anak dipaparkan untuk tontonan ramai.
Terbaharu, My Surprise Girl: Cinta Bidadari, sebuah filem kantonis yang berkisarkan kasih sayang seorang bapa dan anak perempuannya yang menyentuh hati bakal menemui anda di pawagam bermula 5 April ini.
My Surprise Girl: Cinta Bidadari dibintangi oleh JC Chee yang popular menerusi watak Tauke dalam filem box-office 2016, Ola Bola.
Menerusi naskhah ini, JC pertama kali membawakan watak seorang bapa berusia 33 tahun, Hao Wen yang sama sekali tidak langsung mengetahui dia mempunyai seorang anak perempuan yang sudah menginjak usia berusia lapan tahun.
Ini kerana Hao Wen adalah seorang jejaka kacak kaki perempuan yang tidak gemarkan komitmen lantas membuatkan dia suka berpelesaran dengan mana-mana wanita tanpa terikat dengan sebarang perhubungan dengan mereka.
Terdapat satu insiden di pejabat telah membuatkan Hao Wen membawa diri ke sebuah pusat peranginan dan di sanalah dia dipertemukan dengan kejutan bahawa dia mempunyai seorang anak perempuan Xiao Feng (Debbie Loo).
Xiao Feng mendedahkan dia adalah darah daging Hao Wen yang mana ibunya adalah bekas kekasih kepada lelaki tersebut.
Pada mulanya, Hao Wen tidak dapat menerima kehadiran Xiao Feng dalam hidupnya sehinggakan dia ingin menghalau budak itu daripada menganggu kehidupannya. Namun pemilik rumah penginapan, Xue Fen (Jeana Ho) yang diduduki Hao Wen berasa kasihan dengan nasib yang menimpa anak kecil itu lalu mengizinkan Xiao Feng terus tinggal di homestay-nya.
Xiao Feng muncul secara tiba-tiba dengan seekor kucing gebu yang merupakan binatang peliharaan kesayangan mendiang ibunya, Yu Fang (Emily Kong).
Sejak kehadiran kedua-dua si cilik itu, perniagaan rumah penginapan Xue Fen semakin berkembang maju apabila semakin ramai datang menetap di homestay yang diusahakannya.
Bekas rakan sekerja Hao Wen kemudian datang memujuknya supaya mengaku salah dan kembali semula ke syarikat tetapi sikap angkuh dan ego Hao Wen telah menyebabkannya enggan berbuat demikian.
Di saat Hao Wen mula dapat menyesuaikan diri dengan Xiao Feng , konflik mula berlaku apabila akhirnya datuk dan nenek Xiao Feng iaitu ibu bapa Yu Fang datang bertemu Hao Wen lalu mendedahkan rahsia mengenai Xiao Feng. Apakah rahsia tersebut? Ia hanya akan dapat diketahui selepas anda menyaksikan sendiri filem arahan Jack Lee K.H ini di pawagam berdekatan anda bermula 5 April ini.
My Surprise Gila menjalani penggambaran sepenuhnya di Kenting, Taiwan pada tahun lalu. – KopiPlanet.com