
Nabila Huda Sempat Tinggalkan ‘Wasiat’ Pada Suami
Awal bulan ini pelakon Nabila Huda telah berjaya menunaikan salah satu daripada impiannya iaitu untuk mendaki puncak Annapurna, Nepal.
Jika kebiasaan pendaki mengambil masa selama 14 hari untuk mendaki sehingga ke puncak, namun Nabila berjaya menyelesaikan misinya itu hanya dalam masa empat hari berbekalkan panduan daripada malim gunung di sana.
Pelakon itu terpaksa menyelesaikan misinya dalam tempoh yang singkat memandangkan perlu kembali ke Malaysia dalam tempoh yang segera bagi mengejar baki penggambaran drama Dendam Aurora.
Menurut aktres berusia 33 tahun itu, pelbagai rintangan dan cabaran yang dilaluinya sepanjang penggembaraan menuju ke puncak Annapurna, sehinggakan pada satu tahap Nabila terpaksa meninggalkan ‘wasiat’ kepada suaminya, Mohd Izwan Johar gara-gara kepenatan yang dialaminya.
“Saya dah give up, sampai menangis dah. Macam apa yang aku pilih ni. Saya menyesal sampai cakap kat diri sendiri, ‘kau degil sangat apasal, duduk rumah makan asam pedas ke, nak juga buat benda berbukit ini’.
“Ada satu hari tu saya jalan (mendaki) lapan jam sampai mengalami mountain sickness. Tanda-tanda awalnya, saya keletihan dan muntah-muntah. Ada satu masa tu, saya sampai mesej dengan suami cakap saya dah tak larat, saya boleh mati.
“Saya cakap kat suami saya minta maaf banyak-banyak, just take care of my daughter (Keisha Laila). Ini semua adalah disebabkan mental torture, sampaikan saya jadi sedikit emosi pada ketika itu,” katanya ketika ditemui pada majlis malam gala tayangan filem Tombirou: Penunggu Rimba di MBO The Starling, semalam.
Walaupun berdepan dengan ‘siksaan mental’, namun Nabila akhirnya bersyukur setelah berjaya menjejaki puncak gunung terbabit, walaupun tanpa melalui sebarang latihan intensif seperti yang sering kali dilakukan oleh para pendaki.

Menurutnya lagi, banyak pengalaman dan nilai-nilai murni yang telah diraihnya sepanjang pengembaraan tersebut dan ia telah mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih positif dalam hidup.
“Akhirnya bila berjaya sampai ke puncak, saya puas. I did it finally. Saya dah buktikan jika tanpa latihan pun boleh sampai ke puncak. Ia semua sebab mind set kita.
“Pendakian ini juga mengajar saya anger management, lebih bersyukur dan bersabar. Macam-macam saya positifkan diri sepanjang pendakian saya itu,” ujarnya yang sering berkongsi dokumentasi perjalanannya itu menerusi laman sosial Instagram miliknya.
Sementara itu, filem Tombirou: Penunggu Rimba yang dibintangi Nabila akan mula memasuki pawagam seluruh negara bermula 12 Oktober ini.
Filem Tombirou: Penunggu Rimba merupakan adaptasi novel popular Ramlee Awang Murshid yang mengisahkan mengenai Ejim (lakonan Zul Ariffin) yang digelar Tombirou (hantu dalam bahasa Kadazan Dusun) kerana dianggap sebagai penunggu rimba. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Nabila Huda