
Namron ‘Bengang’ Netizen Mudah Jatuhkan Hukum Terhadap Selebriti
Pelakon Namron meluahkan kekesalannya terhadap segelintir warga net yang mudah menjatuhkan hukum terhadap seseorang selebriti tanpa diselidik sesuatu permasalahan sebelum itu.
Menurut Namron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, 50, tindakannya netizen itu boleh diibaratkan seperti ikan belukang yang makan najis, membawa erti di mana ada kisah kontroversi pasti akan ada warga maya yang tidak mahu ketinggalan meninggalkan komen negatif.
Namron dikritik netizen hanya kerana dia memuat naik sebuah video yang mana dia mempertahankan pelakon yang terkait dengan dakwaan isu pukul dan hubungan songsang yang mendapat liputan meluas media sebelum ini.
“Video yang saya buat sebelum ini bukan diminta atau disuruh oleh sesiapa pun untuk mempertahankan dia. Pada pandangan saya yang bermasalah sekarang adalah netizen. Netizen sekarang sudah semakin berani untuk mengeluarkan komen yang mereka sendiri tidak fikir panjang.
“Saya rasa tindakan seperti itu adalah tidak betul lebih-lebih lagi apabila seseorang itu belum lagi didapati bersalah tetapi mereka sudah menjatuhkan hukum. Ia membuatkan saya terjentik hati untuk bercakap mengenainya.
“Kalau bahasa kasarnya, ibarat ikan belukang yang makan najis. Di mana ada najis, mereka akan pergi. Mujur tidak semua netizen berfikiran begitu,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton filem Warkah yang diadakan di MM2 Cineplexes, E-Curve, Mutiara Damansara semalam.
Menurut pelakon berkaliber ini lagi, perlakuan negatif yang ditunjukkan netizen itu perlu dihentikan segera sebelum ia merosakkan sosio budaya masyarakat tempatan.
“Mungkin kerana saya hidup di dua zaman yang berbeza. Saya melalui zaman sebelum dan setelah adanya media sosial. Tindakan seperti ini perlu dikawal kerana ianya tidak bagus untuk sosio budaya kita.
“Selepas ini, saya tidak akan membalas apa-apa kritikan yang dilemparkan kepada saya susulan video yang dibuat sebelum ini. Kalau saya balas, perkara ini akan terus berpanjangan dan tidak memberikan apa-apa hasil yang baik pun,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com