FilemTerkini

A. Aida Ambil Masa 3 Hari Siapkan Skrip Ratu Kala Jengking

Penerbit Datuk A. Aida menyatakan dia hanya mengambil masa selama tiga hari sahaja untuk menyiapkan skrip bagi filem sulung terbitannya berjudul Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

A. Aida berkata, sudah menjadi kebiasaan buat dirinya untuk menghasilkan sesebuah skrip drama atau telefilem itu dalam tempoh yang agak singkat.

“Semasa awal-awal penglibatan saya dalam menulis skrip dahulu lima tahun lalu, idea akan datang mencurah-curah apabila saya menggunakan pensil untuk menghasilkan skrip. Kalau pakai komputer, idea saya akan hilang.

“Rasanya adalah dalam setahun saya berkeadaan sebegitu. Lepas itu secara perlahan saya mula biasakan diri untuk menggunakan komputer pula,” jelasnya pemilik A. Aida Production itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui KopiPlanet.com semasa majlis pelancaran filem Ratu Kala Jengking yang berlangsung semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya apa yang membuatkan dia mula tergerak untuk menghasilkan filem setelah banyak menghasilkan drama dan telemovie, A. Aida memberitahu filem sulung terbitannya ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Kalau Hollywood ada kisah legenda rakyat mereka seperti Cinderella dan Snow White, saya nak tunjukkan yang kita juga ada kisah legenda rakyat kita sendiri.

“Ratu Kala Jengking mengisahkan tentang seorang wanita yang ada 99 orang suami. Kahwin satu malam dan keesokkan semua mati. Ia satu kisah yang menarik dan saya sasarkan filem ini untuk pasaran luar negara,” jelasnya.

Selain itu, A. Aida berkata, antara faktor lain yang menyebabkan dia mempunyai keyakinan untuk menghasilkan filem berkenaan adalah berdasarkan cerita sama yang pernah diterbitkan serta ditayangkan di kaca televisyen sebelum ini.

Ujarnya, ketika ditayangkan di TV3 dengan menggunakan tajuk Cik Siti, ia mendapat sambutan hangat apabila ia diulang siar sebanyak empat kali sehingga sekarang.

“Ramai yang bertanya saya tak nak buat filem ke, tetapi masa tu saya rasa belum tiba masanya lagi sebab tidak jumpa cerita yang sesuai.

“Kemudian apabila melihat Cik Siti mendapat sambutan, saya rasa naskhah ini perlu dijadikan filem. Jadi, saya hasilkan skrip filem ini dengan skop dan jalan cerita yang lebih mendalam,” jelasnya.

Bakal memulakan penggambaran pada 1 Mei ini di Kota Tinggi, Johor, filem Ratu Kala Jengking turut membabitkan seramai 36 orang pelakon dan diarahkan oleh pengarah terkenal, Bade Hj Azmi.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini seperti Nadia Brian, Fizz Fairuz, Amar Asyraf, Mas Khan, Fauziah Nawi, Putra Amaris, Raja Azmi dan penyanyi Indonesia iaitu Firman. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button