
Afgan Rancang Anjur Konsert Amal Bantu Mangsa Gempa Di Palu
Penyanyi Indonesia, Afgansyah Reza atau Afgan menyatakan dirinya berasa cukup terkesan dengan bencana yang berlaku di Palu, Sulawesi pada Jumaat lalu.
Sehubungan itu, dia dan lebih 100 artis dari negara itu telah merancang satu konsert amal untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut.
“Saya sedih sangat, Allah berikan teguran dengan pelbagai cara. Jadi, saya dan lebih 100 rakan-rakan artis akan mengadakan satu konsert amal pada Jumaat ini di Jakarta bagi membantu meringankan beban mangsa.
“Sebelum ini, ketika kejadian gempa di Lombok yang berlaku dua bulan lalu, saya ada di Bali pada masa itu. Saya di Bali pun sudah panik bila rasa gegaran, bayangkan mereka yang lebih teruk terkesan di Lombok.
“Di Lombok, saya dan rakan-rakan membantu mangsa mendapatkan bekalan air bersih dan kemungkinan besar misi itu akan kami teruskan untuk mangsa-mangsa di Palu pula selepas ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Afgan ditemui pada majlis sidang media Konsert Dekade Live in KL 2018 yang berlangsung di ibu kota semalam.
Bagi meraikan 10 tahun pembabitannya dalam industri seni, Afgan akan menjayakan persembahan pentas khas buat peminat di Malaysia pada 3 November ini bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Konsert yang dibawakan khas oleh Nizra Production Sdn. Bhd. itu juga akan diserikan dengan penampilan khas kumpulan Ruffedge.
Tiket konsert boleh didapati menerusi www.premier.ticketcharge.com.my dan harga-harga tiket adalah RM288 untuk kelas Silver, RM588 (Gold), RM888 (Platinum) dan RM1,288 (Diamond VVIP). Harga tiket Diamond VVIP dan Silver dilaporkan telah habis dijual.
Selepas Kuala Lumpur, Afgan dijadualkan mengadakan persembahan di Jakarta, Singapura dan Brunei. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Afgan