
Alif Satar Hanya Kongsi Kebaikan, Bukan Mahu Menunjuk-Nunjuk
Selebriti serba boleh, Alif Satar, 29, menafikan dakwaan sesetengah netizen yang mengatakan dia sengaja ingin menunjuk-nunjuk apabila sering memuat naik gambarnya sedang menunaikan solat Jumaat di laman media sosialnya.
Menurut Alif, apa yang dilakukannya itu adalah hanya untuk berkongsi perkara yang baik kepada para pengikut Instagramnya.
“Saya muat naik foto-foto itu bukannya saya nak tunjuk yang saya pergi sembahyang. Saya seperti orang lain juga, kadang-kadang kita saja nak fun (gembira) bila orang hantar mesej kata muka kita keluar tv (ketika solat Jumaat).
“Daripada orang asyik tengok saya terkinja-kinja atas pentas, bagus apa sekali-sekala mereka dapat lihat sisi lain Alif Satar,” katanya kepada KopiPlanet.com
Alif ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Harman Studio yang berlangsung di Sunway Geo Avenue, Selangor semalam.
Menurut bapa kepada dua cahaya mata ini, tujuannya memuat naik adalah untuk berkongsi dan menyebarkan benda-benda positif agar ia dapat menjadi ikutan para peminatnya.
“Kita sekarang dalam zaman yang macam-macam benda negatif ditunjukkan (di media sosial). Jika saya ‘post’ sesuatu perkara yang baik dan orang boleh ikut, contohnya ‘aku nak pergi masjid la kot-kot Alif pergi masjid boleh duduk sebelah dia’. Saya rasa itu adalah perkara yang baik (menggalakkan orang ke masjid).
“Kenapa kita kena berfikiran negatif dan pandang ke belakang. Saya seorang yang suka berfikir untuk maju ke hadapan. Lagi satu saya tak suka bila orang label artis ni semua sama sahaja (sosial). Kami pun macam anda yang lain di luar sana. Kita tak boleh nak labelkan semua orang sebab setiap individu itu berbeza antara satu sama lain,” ujarnya. – KopiPlanet.com