
Bertitik tolak daripada kejayaan Bangsawan Dendam Laksamana yang ditayangkan pada November tahun lalu, Pat Ibrahim Project Entertainment (PIPE) kini kembali mementaskan karya sama di lapan buah negeri terpilih.
PIPE dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) akan membawakan jelajah ini di Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kuala Lumpur bermula Jun ini.
Menurut pengarah teater itu, Pat Ibrahim, jelajah teater Bangsawan Dendam Laksamana itu sudah lama diimpikannya memandangkan generasi sekarang kurang mengenali kisah-kisah bangsawan dahulu kala dan ia merupakan tanggungjawabnya untuk mengembalikan kegemilangan zaman itu.
“Ini merupakan cita-cita PIPE sejak dahulu lagi untuk menjadikan Bangsawan Dendam Laksamana sebagai satu wadah yang perlu kita jaga.
“Kebanyakan saya pergi universiti dan tanya graduan, kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui sejarah-sejarah kisah lampau seperti Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan di atas sebab itu ia membangkitkan semangat saya untuk mengadakan siri jelajah Bangsawan Dendam Laksamana,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media teater Bangsawan Dendam Laksamana di Matic, Kuala Lumpur semalam.
Teater berskala besar itu akan dibintangi oleh Nadia Aqilah, Hairi Safwan, Anwar Rusdini, Jay Iswazir, Azizah Mahzan, Yusof Hashim, Nasz Sally dan Asmidar.
Untuk menjadikan teater ini relevan di kalangan penonton masa kini, elemen muzikal turut diterapkan selain penggunaan bahasa yang tidak terlalu janggal untuk penonton masa kini.
“Untuk menjadikan teater ini relevan, kami terapkan eleman muzikal selain penggunaan bahasa Melayu yang tidak terlalu klasik untuk dihadam penonton. Dengan pementasan ini juga, saya nak ubah persepsi segelintir pihak yang bila dengar bangsawan sahaja, mereka dah letak stigma ia sesuatu yang membosankan. Tapi yang ini tidak sebab kami garap ia sesuai dengan generasi masa kini,” katanya.
Pementasan teater ini mengambil inspirasi daripada karya Shaharom Husain yang diterbitkan pada 1978. – KopiPlanet.com