
Di Sebalik Kontroversi Curang, Shuk Bersyukur Rumah Tangga Masih Utuh
Penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar akhirnya tampil menjelaskan dakwaan yang mengatakan dia pernah berlaku curang terhadap isterinya, setelah hampir sebulan mendiamkan diri sejak kisah panas mengaitkan dirinya itu heboh diperkatakan.
Menurut Shuk atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 34, dia bukan sengaja mahu melarikan diri, sebaliknya pada ketika kontroversi itu muncul dia sedang melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarganya.
“Ketika benda itu (isu curang) berlaku, saya dan isteri serta anak dalam perjalanan pulang ke kampung di Pulau Pinang untuk sambut hari raya dan disebabkan itu saya ambil keputusan untuk berdiam diri.
“Sepanjang waktu itu, isteri dan saya tak pernah berenggang. Alhamdulillah, hubungan kami baik saja. Sebagai seorang lelaki, ketua keluarga dan suami, kita tak mungkin lari daripada buat kesilapan,” jelasnya.
Shuk berkata demikian ketika ditemui pada majlis santai bersama media anjuran Hot Fm & Kool FM yang diadakan di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur, semalam.
> Baca: Usia 19 Tahun, Masya Masyitah Mampu Beli Rumah RM300,000 Secara Tunai
Pada masa sama, Shuk mengakui yang dia pernah kenal dengan individu terbabit dan isterinya juga mengetahui perkara itu.
Jelasnya, masalah tersebut sudah lama diselesaikan antara kami, namun langsung tidak tahu apa motif cerita tersebut tersebar.
“Saya sendiri tak tahu apa niat individu yang menyebarkan perkara itu. Saya pun dah berbincang dengan isteri dan ambil keputusan untuk tidak mengulas lebih lanjut.
“Apa yang dah berlaku sudah berlalu dan sekarang ini saya nak fokus kepada keluarga serta kerjaya sahaja sekarang ini,” katanya.
Pada hujung bulan Julai lalu, nama Shuk menjadi bualan hangat apabila dia didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan wanita dikenali sebagai Fara Salleh.
Kisah mengenai kecurangannya itu telah didedahkan oleh seorang pengguna di laman Twitter bersama beberapa bukti.
Menurut Shuk, kontroversi mengaitkannya itu cukup memberi pengajaran buat dirinya apabila dia mengakui ia sedikit sebanyak memberikan tamparan sepanjang dirinya bergelar anak seni.
“Walaupun saya seorang pelawak dan selalu dilihat bergurau namun saya juga manusia biasa. Kalau kita terhantuk mesti akan rasa sakit. Isu ini memang buat saya ‘down’ namun saya ambil semua perkara itu daripada sudut positif.
“Namun begitu, ia membuatkan saya lebih menghargai isteri dan keluarga. Saya akan pertahankan keluarga sampai bila-bila. Saya belajar daripada kesilapan dan akan lebih berhati-hati selepas ini dalam berkawan,” jelasnya.
Shuk berkahwin dengan Rossalennah Natassyiah Asshaferahpada 20 Disember 2015 di kediaman keluarga isterinya di Sandakan, Sabah.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan. – KopiPlanet.com