
Isu Lesen Umpama ‘Bom Jangka’ Dalam Akta 244 FINAS
Oleh: Onn Norshal Hamzah
(Kolumnis KopiPlanet.com)
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sentiasa sensasi dengan isu panas. Kali ini dengan isu lesen yang dikhabarkan sebagai wajib untuk semua bentuk penerbitan termasuk di media sosial. Ia timbul lanjutan daripada kenyataan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini antaranya menyebut semua pembuat video termasuk dalam media sosial perlu lesen FINAS.
Hanya selepas itu, melalui kenyataan media kementerian, ia dimaklumkan sebagai salah tafsir dan kerajaan tidak berniat untuk menyekat kebebasan dan kreativiti media. Namun hakikatnya isu ini tetap tidak tamat di situ. Episod lain akan menyusul menyerlahkan ‘kepanasan’ dalam FINAS.
Sebenarnya, isu teras kepada semua permasalahan ini hanyalah satu iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) sudah terlalu usang dan tidak relevan dalam konteks industri perfileman hari ini. Isu ini bukan baru tetapi cuma kurang kesungguhan untuk diperbaiki.
Bukan sahaja dalam akta induk, hampir semua peruntukan tambahan dalam dalam Akta 244 ini telah uzur. Sebab itu ketika berada dalam perbadanan, perkara pertama yang saya usahakan ketika menjadi Pengerusi Wajib Tayang FINAS, saya tumpukan kepada penambahbaikan dan penjenamaan Skim Wajib Tayang 2005 kepada Skrin Malaysia (MySKRIN 2020).
Inilah juga cabarannya dalam Akta 244 FINAS termasuk isu lesen FINAS ini. Memang kalau ikut penafsiran secara tepat, apa yang diperkatakan oleh Menteri KKMM itu berada dalam lingkungan maksud sebenar, walaupun terbuka untuk dibahas mengenai definisi filem dalam era digital.
Definisi filem dalam Bahagian 1, Seksyen 2 Akta 244 adalah ‘Filem termasuk filem cerita, filem pendek, filem subjek ringkas, treler, dokumentari, filem kecil iklan dan apa-apa rakaman pada apa-apa jenis bahan, termasuk pita video dab ceper video, berupa arca bergerak samada disertai dengan bunyi atau tidak, untuk dilihat oleh orang ramai atau mana-mana golongan orang ramai’.
Lantaran itu berkenaan isu lesen FINAS, Skim Wajib Tayang adalah antara isu usang yang perlukan perhatian segera oleh FINAS. Jika tidak, akan sentiasa ada isu baru akan muncul dalam industri ini yang tidak tertampung oleh Finas kerana bergayut pada punca kuasa yang lapuk.
Saya berpandangan bahawa berbanding beberapa jawatankuasa yang telah dibentuk oleh FINAS untuk kepentingan industri, sebuah lagi jawatankuasa pada keperluan mendesak iaitu Jawatankuasa Penambahbaikan Akta 244. Saya berharap jawatankuasa tersebut telah diwujudkan oleh FINAS ketika ini.
Dalam bahasa mudah, jika tiada perubahan bersedialah dengan beberapa lagi ‘bom jangka’ yang akan meletus melanda FINAS dari kelemahan akta berkenaan. Ini bukan isu peribadi, ini isu teras kuasa. – KopiPlanet.com