
Jarang-jarang sekali filem berunsur fiksyen pengembaraan diterbitkan oleh produksi tempatan menarik minat pengarah Opie Zami untuk menghasilkan filem Kron yang mengambil tema tersebut.
Bakal ditayangkan bermula 22 Ogos ini, Kron yang diterbitkan Opyglobal Pictures dibintangi Zahiril Adzim, Dayana Roza, Aman Graseka dan Mamak Puteh.
Menurut Opie, Kron sebuah filem berlatar belakang kisah kerajaan Kedah Tua yang menghantar bunga emas kepada Siam dan ia kemudian plot ceritanya dikembangkan dengan menjadi sebuah filem fiksyen.
“Kron mengisahkan tentang seorang pengkaji sejarah iaitu Daud, penghidap kanser tahap empat yang menghabiskan sisa hidupnya menjejaki laluan Raja Siam yang digunakan untuk mengangkut bunga emas pemberian Sultan Kedah sekitar tahun 1803 hingga 1910.
“Motif utamanya adalah mahu mencari jawapan kepada kehilangan isterinya dalam sebuah pengembaraan. Bagaimanapun, usahanya itu telah diganggu oleh makhluk yang tidak dikenali,” kata Opie.
Menurut Opie lagi, untuk menghasilkan filem ini dia telah mendapat kerjasama dengan sebuah muzium di Kedah.
Jelasnya, filem terbaharu arahannya itu telah mengambil masa selama 28 hari penggambaran dan lokasinya adalah di Baling, Kedah dan Kuala Langat pada tahun 2017.
Menurut Opie, tidak dinafikan untuk menghasilkan filem sebegini ia memberi cabaran tersendiri buat dirinya. Misalnya, set penggambaran yang ditenggelami air disebabkan musim banjir di Kedah.
“Ternyata cara penyampaian filem ini adalah berbeza berbanding filem-filem sedia ada dan sudah tentu ia juga satu cabaran buat saya supaya jalan cerita yang ditampilkan nampak menarik dan mudah difahami penonton.
“Saya turut berharap agar filem ini diterima penonton kerana saya tahu tidak ramai pengarah yang ingin membuat filem seperti ini,” ujarnya.
Sinopsis:
KRON mengisahkan Profesor Daud (Aman Graseka) seorang pengkaji sejarah di sebuah muzium di Kedah dan pembantunya Sham (Zahiril Adzim) mahu melakukan pengembaraan menjejaki laluan Raja Siam untuk membawa bunga emas dan perak ke negaranya. Namun begitu, dia tidak mendapat kebenaran daripada pihak atasannya kerana khuatir dengan bahaya yang menimpa.
Bagaimanapun, kehadiran seorang ahli perniagaan bernama Melur Seri (Dayana Roza) telah menguatkan lagi hasrat dan cita-cita Profesor Daud memandangkan segala kos pengembaraan akan ditanggung oleh Melur Seri. Manakala, Pian (Mamak Puteh) seorang pengarah televisyen paranomal yang telah mendapat tahu tentang pengembaraan tersebut menawarkan diri untuk merakam semua aktiviti secara percuma.
Pada mulanya, semua perjalanan berjalan lancar dan mereka telah menemui pemulaan laluan yang bersejarah itu. Namun, sebaik sahaja sampai di pertengahan jalan, pandangan mereka dikaburkan dan mereka telah masuk ke laluan yang salah, sehingga kesemuanya diganggu dan diburu oleh makhluk misteri iaitu KRON. – KopiPlanet.com