
Noah Akur Terpaksa Guna Nama Peterpan Lagi Tapi…
Band dari Indonesia, Noah tidak menafikan yang kumpulan itu masih perlu menggunakan jenama Peterpan walaupun mereka sudah menukar nama band itu sejak lima tahun lalu.
Menurut vokalisnya, Nazril Irham atau lebih dikenali sebagai Ariel, dia melihat perkara itu memang tidak dapat dielakkan apabila peminat di Malaysia lebih mengenali mereka dengan nama Peterpan yang digunakan mereka sebelum ini.
“Jika di Indonesia kebanyakan peminat sudah dapat menerima kami dengan nama Noah tapi di Malaysia ia agak sedikit sukar dan sebab itu jenama Peterpan masih lagi digunakan sekiranya kami menjayakan persembahan di Malaysia.
“Kami tak dapat lari dari itu, namun untuk mengukuhkan lagi nama Noah agar lebih dikenali, kami perlu sentiasa tampil dengan lagu-lagu dan karya-karya baharu untuk memantapkan lagi nama Noah.
“Mudah-mudahan kami boleh pergi lebih jauh dan terlepas daripada dikaitkan dengan Peterpan lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Noah Live in Kuala Lumpur yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota, semalam.

Turut hadir pada majlis itu, tiga lagi anggota band tersebut, Uki dan Lukman (gitaris) serta David (keyboard).
Ini merupakan konsert pertama Noah di KL sejak diberi penjenamaan nama baharu pada tahun 2012.
Kali terakhir Ariel dan rakan-rakannya membuat persembahan adalah pada enam tahun lalu sebelum nama band Peterpan ditukar kepada Noah.
Noah diberi penjenamaan semula selepas kontroversi skandal video membabitkan Ariel bersama dua rakan artis senegaranya menggemparkan industri hiburan serantau sekitar tujuh tahun lalu.
Berjanji akan memberikan persembahan terbaik sempena Konsert Noah Live in Kuala Lumpur, kumpulan itu akan menyampaikan seleksi lagu-lagu baharu Noah dalam konsert yang dijadualkan berlangsung selama 90 minit di Stadium Negara pada 25 November ini.
Noah Live in KL dibawakan oleh Nada Promotama dengan kerjasama Mewah Event Management. Pihak penganjur menyasarkan seramai 6,000 peminat setia Noah bakal membanjiri lokasi konsert berskala besar itu. – KopiPlanet.com