Cerita ArtisHiburan

“Saya Nak Tengok Dulu ‘Permainan’ Dia!” – Lily Lokman

Isteri pengarah Aziz M. Osman, Puteri Lily Lokman mendedahkan segala kenyataan yang dikeluarkan oleh individu yang didakwa menipu rombongan percutian keluarganya ke Korea Selatan adalah palsu semata-mata.

Menurutnya, segala keterangan yang dikeluarkan individu bernama Farah kepada sebuah akhbar tempatan adalah bohong semata-mata bagi melepaskan dirinya.

Dalam kenyataan Farah menerusi laporan sebuah akhbar yang dipaparkan menerusi online hari ini, dia mengatakan sudah membayar wang pendahuluan kepada Lily dan membatalkan trip percutian itu pada 20 Disember lalu.

“Farah ini semua dia boleh buat cerita, saya tak nak komen banyak sebab dia banyak pusing cerita. Dia cakap dia dah batalkan percutian pada 20 Disember, itu semua palsu. Kalau suruh dia tunjuk resit, mesti dia akan bagi resit palsu. Padahal memang semua itu tiada pun.

“Dia kata dah pulangkan duit balik? Bila yang dia bagi balik duit itu. Tak ada maknanya, satu sen pun tak dapat balik,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.com.

Menurut Lily, dia kini hanya menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan enggan mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung isu ini.

“Lepas ini saya tak nak bagi kenyataan lagi, biar polis jalankan siasatan sebab saya tak nak kacau kerja polis. Saya nak tengok dulu permainan dia ni macam mana. Sekarang saya hanya tunggu perkembangan daripada pihak polis sebab semua bukti sudah saya bagi,” katanya.

Lily menjelaskan sebelum ini dia sudah memberikan tempoh kepada Farah untuk menjelaskan kembali wang mereka sebanyak RM50,000 yang telah dibayar kepada wanita tersebut, namun sehingga kini masih tiada sebarang pembayaran dilakukan olehnya.

“Saya dah bagi banyak tempoh untuk bagi balik duit kami, kenapa tak boleh bayar? Saya pernah cakap pada dia, saya kenal awak secara baik, saya pun nak selesaikan benda ini secara baik. Tapi dari sehari ke sehari dia tak bayar-bayar kepada rombongan kami.

“Kalau orang tengok dia, memang dia nampak seorang yang meyakinkan. Polis pun cakap ramai scammer memang perangai sebegitu sebab mereka nak meyakinkan orang. Saya buat laporan polis ini pun untuk mengelakkan orang ramai daripada ditipu lagi oleh dia,” katanya lagi.

Lily dan keluarganya termasuk keluarga bapa saudaranya, Den Wahab terkandas di Korea Selatan pada 24 hingga 28 Disember lalu apabila rombongan mereka didakwa ditipu oleh wanita tersebut.

BACA:  Ditipu Ketika Melancong, Aziz M. Osman Buat Laporan Polis

Namun, rombongan mereka bernasib baik apabila pihak Arba Travel & Tours atas dasar kemanusiaan telah membantu menanggung segala kos penginapan dan pengangkutan mereka sepanjang berada di sana.

Rombongan berkenaan kerugian sebanyak RM90,000 yang mana ia merangkumi RM50,000 yang telah dibayar kepada Farah dan RM40,000 yang perlu dibayar mereka untuk tiket penerbangan balik ke Malaysia.

Semalam, pihak rombongan telah membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Selangor menuntut Farah untuk segera memulangkan kembali wang mereka dalam tempoh seminggu sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button