
Siri Baharu Upin & Ipin Kini Boleh Ditonton Menerusi Saluran Astro
Siri animasi Upin & Ipin terbaharu kini sudah boleh dinikmati secara eksklusif di Astro menerusi saluran Astro Ceria dan Astro Prima.
Kerjasama serta kolaborasi antara Les’ Copaque dan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) turut melibatkan tiga produk animasi baharu Les’ Copaque iaitu Upin & Ipin Iqra, Puteri dan Pada Zaman Dahulu.
Menurut Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, animasi Upin & Ipin dijangka dapat menarik minat lebih banyak penonton.
“Sebelum ini Astro sudah ada menyiarkan animasi Upin & Ipin tetapi ia terhad di Astro Ceria sahaja.
“Tapi kini Astro memperluaskan kerjasama ini supaya pelanggan Astro dapat menonton lebih banyak siri animasi baharu dari Upin & Ipin serta Les’ Copaque,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd, Burhanuddin Md. Radzi berkata kolaborasi ini dapat membantu syarikatnya memperluaskan lagi kandungan yang dicipta mereka.
“Kami hanya pembekal kandungan dan penting untuk kami ada rakan penyiar terbesar seperti Astro.
“Ia membantu kami untuk menyalurkan kandungan yang kami ada terutama Upin & Ipin ke dalam platform seperti Astro,” katanya.
Upin & Ipin hadir di ruangan animasi tanah air pada 2007 dan ia merupakan siri animasi versi 3D yang pertama di Malaysia. – KopiPlanet.com