
Nita Hamzah Naik Pelamin Awal Tahun Hadapan
Penyanyi Nita Hamzah mendedahkan dia akan bernikah sama ada pada bulan Februari atau Mac tahun hadapan.
Menurut Nita, persiapan perkahwinannya sedang giat dilakukan namun hanya tarikh belum ditentukan memandangkan dia masih lagi mencari lokasi yang sesuai untuk majlis raja seharinya itu.
“InsyaAllah bulan Februari atau Mac tahun hadapan. Kami tak pilih tarikh lagi memandangkan belum memilih lokasi majlis perkahwinan lagi.
“Sekarang saya tengah giat melakukan persiapan, baru saya tahu macam mana peningnya nak uruskan hal berkaitan perkahwinan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Versus 1001 Rasa Baba’s yang diadakan di Hotel Empire Subang, Subang Jaya, semalam.
Dalam majlis itu, Nita, 37, telah dipilih mendendangkan jingle terbaharu Baba’s.
Sebagai mempersiapkan dirinya sebelum bergelar seorang isteri, Nita sempat mempelajari cara-cara membuat sambal kering yang merupakan makanan kesukaan bakal suaminya, Mohamad Fareez Shamsul Bahari, 29.
Selain itu, Nita juga tidak melihat perbezaan umur yang jauh di antara dirinya dan tunang sebagai satu masalah memandangkan tunangnya itu merupakan seorang yang sangat serasi dengan dirinya.
“Saya tidak peduli dengan kata-kata orang (suami lebih muda daripadanya). Jodoh, ajal dan maut bukannya di tangan kita,” katanya yang telah berkenalan dengan Fareez sejak empat tahun lalu.
Mengikat tali pertunangan pada 13 Ogos lalu, Nita mengakui yang dia turut berhadapan dengan dugaan bertunang yang sinonim dikaitkan dengan orang ‘berdarah manis’.
“Ada satu ketika saya dan tunang pernah bergaduh selama seminggu, semua sebab hal-hal kecil sahaja. Mungkin sebab saya terlebih sensitif tapi yang bagusnya tunang saya ini dia sangat positif orangnya,” ujarnya lagi.