
One Forteen Anggap Isu Dengan Kontraktor Sudah Selesai
Salah seorang anggota kumpulan Forteen, Muhammad Ridzuan Sharifuddin atau One Forteen menyatakan isu dengan pihak kontraktor yang bertanggungjawab melakukan kerja ubahsuai spa miliknya, Muscleman Spa di Shah Alam sudah selesai.
One berkata, ketika ini pihaknya menyatakan kes berkenaan sudah ditutup, namun laporan polis yang dibuat tidak akan ditarik semula.
“Apa yang lebih penting mereka tidak mengganggu lagi kami dan tidak cuba untuk ambil barang-barang di spa. Kami mahu perkara ini tidak lagi berlarutan.
“Sekarang ini masing-masing dah ambil tindakan untuk berdiam diri. Jadi, saya anggap tiada lagi masalah dan kami pun dah upah kontraktor lain,” jelasnya.
One berkata demikian ketika majlis pelancaran produk kesihatan All N’ 1 yang berlangsung di Shah Alam, semalam. Produk berkenaan hasil keluaran Muscleman Spa.
Pada bulan Julai lalu, One membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 7 Shah Alam setelah kontraktor yang menjalankan kerja ubah suai spa miliknya gagal melakukan tugas sepatutnya.
Dalam pada itu, One menyatakan dia rasa bersyukur kerana perniagaan spa yang diusahakan bersama rakannya, Jaspal Singh Ajaib Singh mendapat sambutan yang menggalakkan setelah setahun.
“Memang banyak cabaran apabila saya menjalankan perniagaan spa lelaki ini, terutaman sekali kecaman-kecaman yang diterima daripada segelintir pihak.
“Namun, semua itu saya abaikan kerana segala cabaran itu harus saya lalui. Lagipun sudah cecah ratusan ribu ringgit yang dilaburkan untuk perniagaan ini,” ujarnya. – KopiPlanet.com