
Pak Nil Bawa 150 Pelajar Jalinan Kasih Naik MRT, Makan Sate
Selebriti terkenal, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil menerusi yayasan yang dinaunginya, Yayasan Pesona berbesar hati membawa 150 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih untuk menaiki sistem pengangkutan MRT selain menjamu mereka dengan Restoran Sate Kajang Hj Samuri di Kajang, hari ini.
Menurut Pak Nil, 56, aktiviti itu diadakan bagi mendekatkan dirinya dengan kanak-kanak tersebut selain memberi pendedahan kepada mereka untuk lebih berani menyuarakan pendapat di hadapan umum.
Tujuan utama saya adakan aktiviti ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai kepentingan untuk lebih berani menyuarakan pendapat dan lantang dalam berkata-kata tanpa kelihatan kurang ajar.
“Kalau kita lihat kebanyakan generasi masa kini kurang ilmu-ilmu tersebut, tak seperti generasi saya dahulu yang lebih menghormati orang tua, tahu bila perlu dan bila tidak perlu untuk bersuara.
Itu yang saya cuba terapkan pada mereka. Berani untuk mengangkat tangan bertanyakan soalan dan tidak malu tetapi berlandaskan adat-adat ketimuran dan tidak kelihatan biadap,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Menerusi yayasan itu juga, Pak Nil telah menerima lebih 100 jemputan sekolah dari seluruh Malaysia untuk mengadakan aktiviti berkongsi ilmu untuk berani menyuarakan suara dan pendapat dengan cara yang betul.
Menurut Pak Nil, aktiviti yang diadakan itu merupakan salah satu daripada impiannya sejak dari dulu lagi dan beliau akan lebih berasa kesal jika tidak menggunakan kesempatan yang dimilikinya untuk membantu generasi masa kini.
“Mereka-mereka inilah anak-anak kita yang bakal memimpin negara di masa akan datang. Ia tugas kita untuk mendidik mereka mana yang boleh dan tidak boleh dalam berkomunikasi. Benda ini nampak mudah tapi kesannya kita akan nampak di masa akan datang,” katanya.
Semakin menjinakkan diri ke arah kerja kebajikan, Pak Nil menolak tanggapan yang mengatakan beliau ingin terlibat dalam bidang politik.
“Saya tidak berminat masuk politik. Saya lebih senang begini, buat kerja-kerja sendiri tanpa melibatkan diri dalam mana-mana parti politik. Ia beri kepuasan yang cukup bermakna buat saya sepanjang 30 tahun bergelar anak seni,” katanya. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Datuk Aznil Nawawi