HiburanSelebriti

PDRM Akan Siasat Berhubung Dakwaan Ada Individu Bantu Sajat Melarikan Diri Ke Thailand

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dari pelbagai aspek, termasuk dakwaan Sajat telah dibantu individu lain berhubung isu usahawan berkenaan yang melarikan diri ke Thailand.

Menerusi laporan Bernama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dan maklumat akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan kaedah terbaik agar sempadan negara tidak mudah dibolosi.

“Kami tidak mahu lagi kejadian seperti  berlaku pada Nur Sajat yang berjaya melarikan diri dari sempadan negara berulang.

“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga,” tegasnya.

Ujar beliau, Sajat telah dituduh oleh pihak berkuasa Thailand di bawah Akta Imigresen negara itu, namun dia memohon taraf pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Mereka (UNHCR) sedang berusaha membolehkan dia dianggap sebagai pelarian di Thailand,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Jalil menjelaskan pihaknya sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi ahli perniagaan kosmetik itu ke Malaysia.

“Terpulang kepada pihak berkenaan untuk memberi kuasa kepada polis bagi membolehkan dibawa pulang melalui proses undang-undang Malaysia dan antarabangsa. Polis menasihatkan Nur Sajat, sekiranya dia dengar berita ini, kami minta dia pulang dengan cara baik bagi berhadapan kes yang perlu dilaluinya,” katanya.

Sajat atau Muhammad Sajjad telah diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button