FilemTerkini

Penampilan Bront, Fazura Strategi Tarik Penonton Malaysia

Penerbit filem Ayat-Ayat Cinta 2, Manoj Punjabi percaya dengan strategi menggunakan khidmat pelakon dari Malaysia mampu menambahkan warna dalam filem terbaharu terbitan syarikat produksinya, MD Entertainment.

Menurut Manoj, dia memang sudah lama ingin mendapatkan khidmat kedua-dua pelakon tempatan iaitu Nur Fazura dan Bront Palarae kerana bakat mereka yang cukup bagus dan luar biasa.

“Tidak dinafikan bahawa Bront dan Fazura memang benar-benar pelakon yang bagus, mala mereka sangat berbakat besar dalam bidang lakonan.

“Selain itu, kemunculan mereka turut menambahkan warna dalam filem ini dan ia akan lebih dekat dengan penonton di Malaysia memandangkan kami menampilkan dua pelakon dari negara ini,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Ayat-Ayat Cinta 2 yang berlangsung di GSC Pavilion, Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, Manoj turut menyuarakan sedikit kebimbangannya, adakah filem sekuel ini mampu mencapai kejayaan yang sama seperti Ayat-Ayat Cinta yang diterbitkan 10 tahun lalu.

Namun begitu, baginya dia tetap optimis dengan filem arahan Guntur Soehardjanto tersebut yang akan mengulangi kejayaan sama seperti filem pertama.

“Walaupun jarak masa yang diambil untuk mengeluarkan filem terbaharu ini adalah selama 10 tahun, tetapi saya percaya dengan filem ini diyakini mampu menarik perhatian penonton yang mahukan filem-filem bercorak sedemikian di pasaran,” katanya lagi.

Sementara itu, pelakon utama Ayat-Ayat Cinta 2, Fedi Nuril menyatakan antara cabaran terbesarnya untuk filem ini adalah untuk menggembangkan watak Fahri yang kini sudah bergelar profesor di sebuah universiti di United Kingdom.

“Cabaran yang perlu dilakukan saya adalah untuk menukar transisi watak Fahri yang dulunya seorang penuntut universiti dan kini sudah bergelar profesor.

“Selain itu, cabaran lain ialah apabila pengarah meminta saya melakonkan adegan menangis di tengah-tengah babak dan ia agak sukar dilakukan pada mulanya sebab kalau nak menangis kita tak boleh tahan-tahan. Jadi, saya perlu menahan air mata terlebih dahulu sebelum boleh mengalirkannya pada waktu-waktu tertentu yang dikehendaki oleh pengarah,” katanya.

Filem yang menjalani penggambaran di United Kingdom ini bakal memulakan tayangannya di 109 pawagam tempatan bermula Khamis ini.

Selain Fedi, Fazura dan Bront, Ayat-Ayat Cinta 2 turut dibintangi Tatjana Saphira, Chelsea Islan, Dewi Sandra, Pandji Pragiwaksono, Arie K. Untung dan Dewi Irawan. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Antenna Entertainments

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button