HiburanSelebriti

Pendakwah Selebriti, PU Azman Diperintah Bela Diri Atas Dua Pertuduhan Kes Amang Seksual

Mahkamah Sesyen Klang telah memerintahkan pendakwah selebriti PU Azman atau Azman Syah Alias untuk membela diri atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun pada tahun lalu.

Menerusi laporan Bernama, Hakim Syafeera Mohd Said membuat keputusan berkenaan setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap terhadap pendakwah selebriti berkenaan.

“Setelah mendengar dan meneliti saksi pendakwaan dan semua bukti dan serta meneliti hujahan pendakwaan, mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap OKT (Orang Kena Tuduh) atas tuduhan pertama dan tuduhan kedua. 

“Oleh yang demikian OKT diarah untuk membela diri,” katanya.

Sewaktu keputusan dibacakan, PU Azman kelihatan tenang dan setelah Syafeera menerangkan pilihan yang diberikan, dia memilih untuk meneruskan perbicaraan dengan memberi keterangan secara bersumpah.

“Yang Arif, saya memilih keterangan bersumpah dari kandang saksi,” kata PU Azman.

Mengikut pertuduhan, pendakwah berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang pada pukul 12.15 tengah malam dan 1.00 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 12 Januari 2024 untuk sebutan semula kes.

Sehingga kini, seramai tujuh saksi telah memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 5 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ayuni Jamri dan Nurul Izzati Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.

Turut hadir peguam Jabatan Bantuan Guaman Selangor Norhayati Johar selaku pendamping guaman bagi mangsa.

Azman Syah turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang. – KopiPlanet.com

Kredit artikel: Bernama

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button