![](https://www.kopiplanet.com/wp-content/uploads/2025/02/Screenshot-2025-02-07-at-4.54.12-PM-780x470.png)
Penerbit syarikat Katana Film Sdn Bhd yang juga pengarah, Mallory Lee menyatakan pihaknya akan berusaha melunaskan bayaran tertunggak kepada kru filem Strike: Silat Cult Master sebelum 13 Februari ini.
Mallory berkata, pihaknya sudah menyelesaikan bayaran penuh kepada pelakon minggu lalu dan kini sedang berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan baki 30 peratus bayaran kepada kru.
“Pelbagai usaha keras saya buat untuk langsaikan baki bayaran dengan mencari penyelesaian, termasuk berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).
“Buat masa ini, bayaran kepada semua pelakon sudah selesai, jadi mereka hadir ke majlis tayangan perdana filem ini. Apapun baki tunggakan kru akan kami usahakan untuk dilunaskan sebelum tarikh tayangan pada 13 Februari,” jelasnya.
Pengarah itu berkata demikian ketika ditemui semasa majlis tayangan perdana filem Strike: Silat Cult Master yang berlangsung malam tadi.
Dia diminta mengulas mengenai petisyen dikeluarkan segelintir kru yang mendesak tayangan filem Strike: Silat Cult Master ditangguhkan sehingga bayaran mereka dilunaskan.
Namun begitu, Mallory tidak mendedahkan mengenai punca masalah kewangan yang dihadapi sehingga pihaknya berdepan dengan masalah bayaran.
![](https://www.kopiplanet.com/wp-content/uploads/2025/02/Screenshot-2025-02-07-at-4.51.40-PM-1.png)
Pada masa sama, dia tidak melenting dengan petisyen yang dibuat serta akur dengan kekecewaan mereka yang menanti bayaran atas keringat yang diberikan.
“Sebelum ini saya pernah jadi kru belakang tabir dan pernah mengalami situasi sama. Jadi, saya tidak salahkan semua kru jika mereka meragui saya.
“Cuma saya harap dapat diberikan masa untuk mencari jalan dan akan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” katanya.
Terdahulu, beberapa krew filem memuat naik hantaran di Facebook mendesak syarikat penerbitan itu melunaskan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 80 peratus baki gaji tertunggak.
Filem Strike: Silat Cult Master menelan belanja RM1.5 juta ini menceritakan perjuangan seorang lelaki yang berusaha mencari pembunuh ibunya.
Ia ditayangkan di pawagam pada 13 Februari ini dan menampilkan barisan pelakon seperti Aiman Ameer yang juga juara Hero Remaja 2023, Azri Safix (finalis Hero Remaja) dan Fify Azmi. – KopiPlanet.com