DramaTV

Penerbit Luah Rasa Syukur Drama Saat Kau Takluk Cinta Ini Jadi Trending & Terima Sambutan Positif Penonton

Biarpun baru sahaja ditayang beberapa episod, drama bersiri Saat Kau Takluk Cinta Ini terbitan Kembara Sufi Production Sdn Bhd mendapat sambutan positif penonton serta menjadi trending.

Penerbitnya, Jaja Ishak berkata, dia bersyukur kerana drama yang menggandingkan Idris Khan dan Intan Najuwa itu menjadi perhatian peminat kerana jalan cerita yang ditampilkan.

“Alhamdulilah, ternyata sambutan yang diterima untuk drama cukup baik dan positif daripada peminat. Pastinya ia sesuai yang menggembirakan saya selaku penerbit.

“Apatah lagi dalam pada negara berhadapan dengan musibah banjir, masih ada lagi yang memberikan sokongan kepada drama ini,” ujarnya.

Jaja berkata, apa yang paling mengujakan apabila drama berkenaan trending nombor satu menerusi aplikasi Iqiyi Malaysia yang turut menayangkan drama ini menerusi aplikasi penstriman sejam selepas ditayangkan di TV3.

Pada masa sama, beliau mengakui memang banyak cabaran yang dihadapi untuk menyiapkan drama setelah memulakan penggambaran pada pertengahan tahun ini.

“Namun dek kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika itu, kami terpaksa menangguhkan penggambaran dan menyambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Apa-apa pun saya bersyukur kerana dapat menyiapkan naskhah ini seperti mana yang dijadualkan. Melihatkan sambutan hangat daripada peminat, itu menambahkan lagi semangat kami,” tambahnya.

Saat Kau Takluk Cinta Ini yang ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 merupakan kisah yang diadaptasikan daripada novel berjudul yang sama karya Sera Hezra.

Skrip diolah semula oleh Eja Lorena dan diarahkan oleh Zamri Zakaria ini menjalani penggambaran di sekitar Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama.

Kisah bermula apabila Haira Melissa lakonan Intan Najuwa telah dibuang daripada keluarga setelah dituduh merampas tunang kepada adik tirinya. Dia melarikan diri ke sebuah kampung untuk mencari kawan baiknya.

Dalam hujan, dia yang menumpang berteduh di sebuah pondok bertemu dengan Rahhal Taufiq (Idris Khan) secara tidak sengaja dan bermulalah konflik satu persatu selepas itu.

“Jika diikutkan jalan cerita yang dipersembahkan dalam drama ini begitu kuat dan  penuh dramatik. Saya beruntung kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat kali ini.

“Semua memberikan kerjasama yang baik dan dalam masa yang sama terus menghidupkan watak mereka. Saya harap drama ini terus diterima ramai dan memberikan sesuatu yang baharu kepada semua,” kata Jaja lagi.

Selain Idris Khan dan Intan Najuwa, Saat Kau Takluk Cinta ini turut dibintangi oleh Wafariena, Shakilla Koriri, Shazwan Zulkifly, Wan Maimunah, Raja Azmi, Farhan Asri, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

Tedahulu, Jaja melancarkan lagu Takdir nyanyian Aliff Iskandar yang dijadikan runut bunyi untuk drama ini. Lagu tersebut boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music dan boleh juga didengar melalui semua platform digital. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button